LANGKAWI, 19 Julai – Kerajaan negeri Kedah perlu lebih kreatif untuk mengembangkan sektor pelancongan di Pulau Langkawi dengan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada acara seperti Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri perlu menjalin kerjasama erat dengan menteri Kerajaan Persekutuan bagi merancang acara yang boleh diadakan untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Kerajaan negeri kena berpakat dengan Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar atau Exco kena jumpa menteri yang terlibat seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri atau Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Misalnya tahun depan ada acara apa dan boleh tak acara ini kami (kerajaan negeri) bawa ke Langkawi, barulah tempat kita tak bergantung kepada LIMA untuk dua tahun sekali kerana acara lain juga boleh diatur”.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Langkawi di Dewan Orang Ramai, Desa Keda Wang Tok Rendong, di sini hari ini.
Jelas Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah, melalui acara-acara atau program itu peluang anak muda dalam pelbagai bidang kerjaya akan meningkat sekaligus meraih pendapatan yang baik.
Selaku ketua negeri tambahnya, Menteri Besar atau barisan Exconya perlu memikirkan kelebihan seperti alam semula jadi yang ada di Langkawi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan.
Dalam pada itu, Mahdzir turut meminta kerajaan negeri untuk segera menyelesaikan masalah bekalan air di pulau berkenaan.
Katanya, kebanyakan paip yang membekalkan air ke pulau ini dari tanah besar telah dibina ketika era pentadbiran Menterj Besar, Tan Sri Osman Aroff pada tahun 1990-an.
“Kita telah mencadangkan satu laluan paip baharu dibina untuk membawa bekalan air, sumber air dari tanah besar ke Langkawi.
“Untuk selesaikan masalah ini kerajaan negeri perlu ada kolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan. Pelancong akan semakin ramai masuk jika negeri ini diuruskan dengan baik dan kalau rakyat Langkawi beri mandat kita akan selesaikan masalah air,” ujarnya.
Leave a comment