PUTRAJAYA, 22 Julai 2024 – Festival Tarian Singa 2024 akan di adakan di Kuching Waterfront, Sarawak selama tiga (3) hari bermula pada 26 hingga 28 Julai 2024.
Ia dianjurkan menerusi kerjasama di antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Menurut MOTAC, matlamat utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya di Malaysia yang dapat diraikan bersama komuniti setempat. Ianya sekali gus dapat melestarikan seni budaya tempatan serta memaparkan keunikan keistimewaan dan kepelbagaian seni budaya dan warisan Malaysia kepada umum.
“Program ini juga berperanan menjadi salah satu daya tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa di sekitar yang akan turut menyumbang ke arah menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia yang julung kalinya diadakan ini merupakan salah satu inisiatif untuk menyemarakkan kegiatan pelancongan, kebudayaan dan ekonomi di negeri Sarawak, khususnya di kawasan Bandaraya Kuching yang melibatkan ramai pihak terutama pemain industri pelancongan dan kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa ke sana sempena program tersebut.” kata MOTAC.
Pelbagai aktiviti menanti pengunjung antaranya Perarakan Kumpulan Tarian Singa, Majlis Perasmian dan Malam Gala, Persembahan Artis Tanah Air, Sesi Perkongsian Ilmu bersama Adiguru Kraf Kepala Singa, Demo Teknik Permainan Gendang Tarian Singa, Pameran, Jualan Kraftangan dan Program Interaktif serta banyak lagi.
Acara kemuncaknya adalah Majlis Perasmian Festival Tarian Singa 2024 pada 27 Julai 2024 (Sabtu), jam 7.00 malam. Orang ramai dijemput hadir ke acara tersebut bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
Leave a comment