PUTRAJAYA, 19 Julai 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan sesi libat urus bersama para penggiat industri pelancongan bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pada petang semalam.
Sesi libat urus itu merupakan kali pertama yang beliau adakan bersama para penggiat industri pelancongan untuk berjumpa, bersuai kenal serta mendapatkan pandangan mengenai cabaran-cabaran berkaitan industri pelancongan negara.
Di dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata bagi meneruskan momentum pemulihan serta memacu industri pelancongan negara ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya saing dan berdaya tahan, Kerajaan telah pun merangka dan melaksanakan beberapa strategi bagi meransang industri pelancongan negara.
“Inisiatif seperti program MM2H, Kepengerusian ASEAN Tahun 2025, penganjuran kempen VM2026 dan aktiviti promosi dan pemasaran yang lebih taktikal diharap dalam memberikan impak yang lebih positif kepada industri ini pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.” kata Ahmad Zahid.
Tambahnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun ini telah menyasarkan 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM102.7 bilion.
“Alhamdulillah berdasarkan kepada rekod dan data MOTAC, pencapaian sehingga Mei 2024 telah menunjukkan prestasi yang baik dari aspek kedatangan pelancong antarabangsa, iaitu 9.48 juta berbanding 7.48 juta pada tahun 2023, pada tempoh yang sama. Kita turut menjangka dan mensasarkan jumlah ini akan terus meningkat pada suku tahun ketiga dan keempat nanti.
Saya juga mengalu-alukan untuk tuan/puan untuk memberikan pandangan dan maklum balas supaya Kerajaan khususnya MOTAC untuk menyusun dan merancang segala usaha/inisiatif agar mencapai objektif yang diharapkan. Saya percaya YB Menteri dan warga MOTAC telah memberikan yang terbaik dalam memastikan momentum industri pelancongan ini terus dilandasan yang terbaik dan tepat. ” katanya.
Beliau juga berharap agar kesemua Kementerian dan pihak industri sama-sama berganding bahu, bekerjasama dan komited dalam memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan VM2026 yang merupakan Agenda Nasional.
“Saya amat yakin dengan kesungguhnya semua pihak, Malaysia akan menjadi sebuah destinasi pelancongan pilihan bertaraf dunia dengan nilai budaya yang tinggi.” ujar Ahmad Zahid.
Leave a comment