AMBM @ MY LNAKomuniti @ My LNAPendidikan @ My LNA

Mahasiswa UM selami budaya orang asli Temuan di Ulu Chembong

302

Projek Regain Experience Asli’s Life atau lebih mesra disebut sebagai Projek REAL merupakan salah satu projek kemasyarakatan anjuran Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM).

Menurut Prof. Madya Dr. Roshidah Hassan, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, REAL diadakan sebagai salah satu usaha dalam menyelami budaya dan cara hidup masyarakat orang asli di Malaysia. “Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kelompok orang asli yang merupakan masyarakat pribumi Malaysia dan mendekatkan diri mahasiswa dengan mereka. Program REAL memberi peluang kepada mahasiswa mengenali dengan lebih dekat adat dan budaya orang asli dan juga menyemai semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa UM,” katanya lagi.

Projek REAL dijalankan dalam dua fasa. Fasa Pertama diadakan pada 4 dan 5 Mei 2024 di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan. Fasa Kedua pula diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah pada 17 Mei 2024. Dalam Fasa Pertama, 40 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah telah berkunjung dan bermalam di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan selama dua hari satu malam.

Pada hari pertama, para mahasiswa telah memberi sumbangan barangan makanan dari rumah ke rumah kepada lebih kurang 80 keluarga, melukis mural di dinding dewan orang ramai Kampung Ulu Chembong, mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak orang asli Temuan dan juga mempelajari seni menganyam perhiasan kepala ’dendan’ yang dibuat daripada daun kelapa dan juga mempelajari cara mencanting batik. Pada hari kedua, mahasiswa dibawa mendaki bukit dan merentas hutan sambil mempelajari cara orang asli Temuan menyumpit binatang di dalam hutan.

Aktiviti yang dijalankan ini telah mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Encik Helmi bin Naim Ahmad, Pengerusi Jabatan Kebajikan dan Keselamatan Orang Asli Ulu Chembong. Sebagai Pengerusi JKK, beliau memberi cadangan aktiviti dan membantu mengatur urusan perjalanan aktiviti mahasiswa semasa di Kampung Ulu Chemong. Beliau yang juga merupakan penggiat budaya orang asli Temuan juga bertanggungjawab memperkenalkan budaya masyarakat orang asli Temuan kepada mahasiswa Projek REAL. Encik Helmi meluahkan rasa gembira kerana masyarakat luar terutamanya mahasiswa universiti sudi datang untuk mengenali budaya dan cara hidup masyarakat orang asli Temuan dengan lebih dekat.

Demonstrasi menyumpit oleh penduduk Kampung Ulu Chembong

Projek REAL yang dijalankan pada 4 dan 5 Mei 2024 telah memberi pengalaman yang menarik kepada para mahasiswa. Projek ini berjaya mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kepelbagaian budaya dan memupuk persefahaman antara budaya masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia. Objektif ini berjaya dicapai melalui perkongsian dan pendedahan maklumat tentang adat dan budaya yang diamalkan oleh suku kaum Temuan yang merupakan antara suku kaum asli terbesar di Rembau. Antara ilmu yang diperolehi oleh mahasiswa salah satunya adalah mengenai agama dan kepercayaan yang berbeza-beza serta pantang larang dan amalan yang dianuti dan diamalkan oleh orang asli Temuan.

Projek REAL juga dijalankan dengan objektif untuk melibatkan diri anak-anak orang asli dengan aktiviti yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan mereka melalui pelaksanaan aktiviti 3M iaitu aktiviti membaca, menulis dan mengira. Kanak-kanak orang asli Temuan yang berumur di antara 3 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Mereka tidak malu-malu untuk bertanya dan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang dijalankan.

Pengarah Projek REAL, Amirah Nasuha Binti Mohamad Izat pelajar Tahun 2, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi berharap projek ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa menerokai dan memahami kehidupan orang asli, tetapi juga dapat membantu komuniti orang asli dalam mengubah cara pemikiran mereka untuk menjadi lebih berani dalam mencuba dan mengaplikasikan perkara baharu supaya dapat sama-sama maju tanpa perlu meninggalkan nilai adat dan budaya mereka.

Projek REAL Fasa Kedua telah diadakan di Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah pada 17 Mei 2024. Program ini bermula pada sesi petang dengan sesi pameran yang memperkenalkan sejarah, adat istiadat, sistem kepercayaan suku dan hasil kraftangan orang asli Temuan. Mahasiswa Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah yang tidak berkesempatan mengambil bahagian dalam aktiviti Fasa 1 di Kampung Ulu Chembong pada 4 dan 5 Mei berpeluang mengenali budaya orang asli Temuan melalui pameran yang mencakupi seni ukir, sulaman, permianan serta pakaian.

Dalam usaha untuk meningkatkan pemahaman budaya orang asli Temuan, para peserta Projek REAL berkongsi pengetahuan yang diperolehi semasa lawatan ke Kampung Ulu Chembong dengan mahasiswa lain melalui pelbagai aktiviti yang menarik. Program ini turut dihadiri oleh Encik Helmi bin Naim Ahmad dan empat penari tarian Sewang dari Kampung Ulu Chembong. Mereka telah dibawa oleh Projek REAL bagi mempersembahkan tarian Sewang dan juga menghadiri majlis penutup Projek REAL.

Sukarelawan bersama Helmi (tengah) dan pelakon drama dan penari sewang di UM

Majlis Perasmian Penutup Projek REAL telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr Roshidah Hassan, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah. Dalam ucapan penutup, Prof Madya Dr Roshidah berkongsi rasa bangga dan gembira kerana mahasiswa Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah mengambil inisiatif menganjurkan program ini. Beliau merasakan bahawa program sebegini dapat memberi pendedahan yang lebih luas tentang pelbagai etnik masyarakat orang asli di Malaysia dan dapat mengenali mereka dengan lebih dekat. Menurut beliau, orang asli kaya dengan ilmu pengetahuan tradisional yang perlu dipelihara dengan baik dan dikongsi dengan lebih luas agar tidak pupus suatu hari nanti.

Pada malam penutup Program This is REAL, persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian, musik, dan drama tradisional orang asli telah dipertontonkan kepada mahasiswa. Pengerusi JKKOA, Encik Helmi turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kerana Projek REAL bukan hanya berkunjung ke kampung mereka tetapi turut membawa mereka ke Universiti Malaya untuk berkongsi ilmu dan memperkenalkan UM kepada mereka. Ini merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti program sebegini. Program ini berjaya memberi pendedahan dan pemahaman yang mendalam tentang budaya dan gaya hidup orang asli Temuan dalam kalangan mahasiswa UM.

Untuk maklumat lanjut mengenai REAL, sila hubungi Pengarah Projek saudari Amirah Nasuha Binti Mohamad Izat, di regainexperienceaslilife2324@gmail.com.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...