PUTRAJAYA, 16 Julai 2024 – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan dana sejumlah RM2.5 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membiayai pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Koperasi tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM2 juta untuk program pembangunan perniagaan dan RM500,000 untuk Tabung Pendidikan Angkasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan replika cek kepada Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam majlis ringkas sebelum Taklimat Kongres Koperasi Malaysia 2024 di Bilik Gerakan KUSKOP, di sini, hari ini.
Ewon berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta adalah untuk membantu koperasi mengembangkan perniagaan serta meningkatkan jaringan perniagaan.
Selain itu katanya, dana itu juga bertujuan memasarkan produk secara dalam talian atau fizikal untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Saya berharap program pembangunan perniagaan koperasi melalui ANGKASA ini dapat membantu mendapatkan sijil halal dan program pembangunan lain seperti pemerkasaan peniagaan, intervensi perniagaan koperasi dan pendigitalan koperasi,” katanya dalam kenyataan media.
Ewon berkata, bagi Tabung Pendidikan ANGKASA (TAPAK) pula ia bertujuan memberi kemudahan untuk membina dan meningkatkan taraf pendidikan komuniti koperasi.
“Kemudahan pembiayaan pendidikan boleh ubah ini disediakan kepada anggota koperasi, anak anggota koperasi dan kakitangan koperasi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau Doktor Falsafah di dalam negara.
“Dana berjumlah RM500 ribu ini bakal memberi manfaat kepada 141 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,” katanya.
Leave a comment