AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Belanjawan 2025 : KPDN mulakan siri dialog bersama pemain industri peruncitan

166
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR 16 Julai 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan siri dialog bersama pemain industri sektor peruncitan hari ini. Ia adalah susulan dari arahan Perdana Menteri yang mahu supaya semua Kementerian mengadakan dialog untuk mendapatkan input bagi Belanjawan 2025.

Siri dialog yang diadakan tersebut meliputi empat badan gabungan iaitu Malaysia Retailers Association (MRA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Bumiputera Retailers Organization (BRO) dan Persatuan Pemborong Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) bertempat di Menara SSM, Kuala Lumpur.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini, pelbagai perkara dibincangkan yang memberikan fokus kepada usaha merangsang pembangunan sektor peruncitan sekali gus meningkatkan sumbangan sektor ini terhadap pencapaian agenda Ekonomi Madani. Ia termasuk menangani isu-isu berbangkit yang dihadapi oleh pemain industri sektor peruncitan dan komitmen mereka dalam agenda pengukuhan tadbir urus korporat.

Sehubungan itu, dalam dialog itu Armizan turut mengingatkan syarikat-syarikat dalam sektor peruncitan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan. Ini termasuk mengambil perhatian dan tindakan susulan untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang terkait dengan tanggungjawab untuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisal (beneficial ownership) kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Tanggungjawab baharu berhubung kerangka pelaporan benefisial ini termaktub dalam peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bermula pada 1 April 2024 selaras dengan pindaan yang telah dibuat kepada Akta 777. Pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan di Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024.

Kerangka perundangan baharu ini adalah komitmen KPDN dan SSM untuk bersama menggerakkan strategi dan pendekatan untuk menyokong agenda reformasi dalam memperkukuh kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya. Ini termasuk ekosistem dan ketelusan tadbir urus sektor korporat.

Pada masa yang sama, penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai. Kedudukan Malaysia dalam konteks menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dinilai oleh pelbagai badan antarabangsa seperti Financial Action Task Force (FATF) bermula tahun ini sehingga tahun hadapan.” kata Armizan.

Peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusankeputusan akhir yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut. Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan, individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini hendaklah melaporkan status mereka kepada syarikat dan syarikat pula perlu menyimpan maklumat tersebut serta melaporkan maklumat yang sama kepada SSM.

“SSM telah mengumumkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 dari 1 April 2024 hingga 30 September 2024 tanpa dikenakan fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi. Tempoh ini bertujuan memastikan semua syarikat mempunyai masa yang mencukupi untuk mematuhi keperluan tersebut melalui sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System.

Dalam tempoh tersebut, syarikat dibenarkan menyerah simpan dan jika perlu, membuat rektifikasi tanpa had untuk memastikan maklumat yang disimpan adalah tepat dan terkini. Fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi tidak akan dikenakan dan tindakan penguatkuasaan tidak akan diambil dalam tempoh ini.” kata Armizan.

Setakat 1 April hingga 14 Julai 2024, sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial. Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dengan tidak mematuhi tanggungjawab ini melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Semua syarikat diingatkan untuk mematuhi peruntukan undang-undang ini dan digalakkan untuk memanfaatkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial sebelum 30 September 2024.” ujar Armizan.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah StevieĀ® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...