Oleh SALMAN HAMAT / MELAKA HARI INI
AYER KEROH 15 Julai – Atlet yang menyumbangkan pingat buat Melaka di pentas Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak, Ogos depan bakal menerima ganjaran daripada Kerajaan Negeri.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, bagi atlet menyumbang emas Kerajaan Negeri menyediakan ganjaran berjumlah RM5,000 sementara itu perak RM3,000 manakala gangsa RM1,500.
“Ganjaran ini bertujuan untuk menghargai semangat, dedikasi dan kesungguhan atlet kita dalam apa juga sukan demi mengharumkan nama Negeri Melaka di pentas Sukma.
“Ganjaran berkenaan adalah untuk atlet bagi sukan individu, sementara itu jika bawah lima orang akan ada perkongsian manakala sukan berpasukan seperti bola sepak pula akan ada kadar tertentu.
“Selain atlet kita juga tidak melupakan pengorbanan jurulatih yang sebenarnya memainkan peranan besar dalam membantu atlet meraih pingat. Mereka ini juga akan menerima ganjaran mengikut nilai tertentu atas kecemerlangan anak didik masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Latihan Atlet Sukma Muay Thai Kontinjen Negeri Melaka 2024 di Taman Muzaffar Height, di sini, pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu bapa angkat bagi sukan Muay Thai, Khoo Poay Tiong, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, Mohd Asri Ninggal, Ketua Pegawai Eksekutif MITC Datuk Arif Shah Abdullah Sani, juga agensi angkat kepada sukan berkenaan, Penasihat Pesatuan Muay Thai Negeri Melaka, Khairudin Yunus dan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias.
Terdahulu pada majlis sama Shanmugam turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kota Melaka kepada Persatuan Muay Thai Negeri Melaka sebagai persediaan ke Sukma XXI nanti.
Leave a comment