TERENGGANU, 6 Julai 2024 – Tanpa memikir panjang, tiga pelajar politeknik nekad menyelamatkan dua kanak-kanak yang hampir lemas ketika mandi di Pulau Perhentian, hari ini.
Pelajar tersebut adalah Ahmad Danial Safwan Ahmad Safri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Naufal Zahari dari Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dan Mohamad Haikal Danis Mohamad Nasir dari Politeknik Seberang Perai (PSP).
Ketika kejadian, ketiga-tiga pelajar terbabit sedang melakukan aktiviti dalam kumpulan berhampiran tempat kejadian.
“Kami ternampak ada dua kanak-kanak hampir lemas ketika mereka mandi di pantai, tanpa berlengah kami terus ke arah mangsa.
“Tempatnya agak dalam dan tak tercapai oleh kaki,” ujar Ahmad Danial ketika ditemui.
Naufal berkata, kedua-dua mangsa yang berumur dalam lingkungan 9 tahun masih bernafas ketika diselamatkan namun salah seorang mangsa muntah teruk dan agak lemah.
Sementara itu, seorang lagi pelajar iaitu Muhammad Haikal memanjatkan kesyukuran kerana berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
“Alhamdulillah, berbekalkan pengetahuan asas penyelamat ketika belajar di politeknik, kami yakinkan diri untuk menyelamat kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Leave a comment