AMBernamaBM @ MY LNATenaga @ My LNA

SEDA Malaysia Pemangkin Gaya Hidup Lestari Dan Kesejahteraan Rakyat

94

PUTRAJAYA, 1 Julai 2024 (Bernama) — Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia optimis kelestarian alam dapat dicapai melalui langkah mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin berkata, setiap lapisan masyarakat boleh menyumbang kepada pencapaian pembangunan Tenaga Lestari (TL) serta dapat menjimatkan kos elektrik mereka dengan menyertai pelbagai program TL yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan.

SEDA Malaysia dipertanggungjawab untuk membangunkan industri TL negara melalui pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (Feed-in Tariff, FiT), Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) dan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE). Pelaksanaan program-program ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dan komitmen mengurangkan sehingga 45% gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030.

Tambah beliau, inisiatif pemasangan sistem solar PV di atas bumbung kediaman yang dikenali sebagai NEM Rakyat telah diperkenalkan sejak tahun 2021. Program ini menawarkan kuota sebanyak 350 megawatt (MW) dan sehingga Jun 2024 sebanyak 241.46MW telah diluluskan iaitu 68.98 peratus. Sehingga kini sebanyak 151.86 MW kapasiti atau 20,418 bilangan pepasangan NEM Rakyat telah beroperasi.

Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kata Hamzah, telah memperkenalkan program Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) bagi menggalakkan pemasangan sistem solar PV oleh pengguna domestik. Program yang telah bermula pada 1 April 2024 dijangka dapat meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program NEM Rakyat. Bagi mereka yang layak akan menerima rebat sebanyak RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000.

Selain itu, SEDA Malaysia sedang menjalankan program rebat SAVE 4.0 yang bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli peralatan elektrik cekap tenaga. Melalui program ini, pengguna boleh mendapat e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara 4 atau 5 bintang cekap tenaga di kedai-kedai berdaftar atau di platform e-dagang.

Sehingga kini, 239,977 unit rebat daripada 250,000 unit yang diperuntukkan telah dinikmati oleh pengguna seluruh Malaysia. Jumlah ini melibatkan nilai RM48 juta daripada keseluruhan RM50 juta. Program SAVE ini juga dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan mengurangkan bil elektrik.

Menurut Hamzah, penjanaan tenaga melalui sistem solar PV dan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga bukan sahaja dapat menjimatkan bil elektrik tetapi ia juga menghasilkan tenaga bersih untuk rakyat.

Sehubungan itu katanya, SEDA Malaysia berharap setiap individu dapat memainkan peranan dalam merealisasikan sasaran Malaysia sebagai negara pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 peratus kepada 70 peratus.

Bagi mendapatkan lebih banyak lagi informasi menarik mengenai amalan gaya hidup lestari, sila lawati laman web SEDA Malaysia www.seda.gov.my serta jangan lupa ikuti media sosial SEDA Malaysia.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Biz @ My LNABM @ MY LNA

Pulangan Menarik Hektar REIT kepada Pemegang Saham Diiktiraf di Centurion Club Awards 2024

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2024  – Hektar Asset Management Sdn. Bhd. (“Hektar Asset...

BernamaBusiness @ MY LNAMy LNA English

MIDA congratulates launch of Sarawak Petchem’s RM7 billion Methanol Complex, catalysing Bintulu’s rise as a Petrochemical Hub

KUALA LUMPUR, July 23 2024 (Bernama) — The Malaysian Investment Development Authority (MIDA) congratulates Sarawak...