BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNAHKHM2024Perpaduan @ My LNASukan @ My LNAUTAMA

Sukan & Perpaduan di Malaysia – MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA

177

Harimau Malaya bakal mengaum di Olimpik Paris 2024!

Di sebalik semangat dan kegigihan atlet Olimpik kita membuat persediaan bagi pesta sukan terbesar dunia ini, segelintir rakyat Malaysia meluahkan rasa kecewa dengan rekaan baju seragam dan jersi atlet Olimpik Malaysia yang diperkenalkan beberapa hari yang lalu.

Dalam media sosial, rata-rata netizen merasakan bahawa rekaan baju atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak gah dan tidak setara dengan semangat atlet -atlet yang akan mewakili Malaysia di Paris.

Penulis membaca kebanyakan komen dan dapat merasakan keghairahan dan semangat bangga rakyat Malaysia untuk menyokong kontinjen Malaysia di Paris kelak. Komen-komen dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris jelas memperlihatkan rasa kecewa mereka dengan rata-ratanya berharap agar pakaian seragam dan jersi atlet Olimpik Malaysia ini akan ditambahbaik.

Melihat kepada senario reaksi rakyat Malaysia dalam hal ini sebenarnya membawa satu perasaan bangga di sudut kecil hati penulis kerana itulah hakikat bidang sukan di hati rakyat Malaysia; iaitu sukan adalah antara perkara yang merapatkan dan membakar semangat perpaduan di Malaysia yang tercinta ini.

Minat. Bakat. Kebolehan. Peluang. Sokongan.

Lima perkara asas yang diperlukan oleh seseorang individu untuk membina kerjaya dalam bidang sukan, dan jelas bidang ini tidak mengenal usia, jantina, agama mahupun bangsa. Setiap kali tiba musim sukan di Malaysia, kita akan melihat semangat perpaduan dan kebersamaan yang membuak-buak dalam kalangan rakyat Malaysia.

Setiap kali atlet Malaysia beraksi di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, kita boleh lihat semua lapisan rakyat berbilang bangsa dan agama akan bersatu menyokong pemain ataupun pasukan pilihan mereka. Laungan sorakan yang sistematik dan nyanyian berirama yang seragam akan kedengaran di mana-mana sahaja mereka berkumpul.

Paling meriah jika perlawanan ditonton di skrin besar seperti di kedai mamak, sorakan kegembiraan akan bergema apabila pemain atau pasukan pilihan menjaringkan mata kemenangan. Malah pada ketika itu, penyokong akan saling bertepuk tangan dan meraikannya bersama-sama orang asing yang menyokong pemain ataupun pasukan yang sama. Pada saat itu, tiada siapa yang akan melihat pada perbezaan bangsa atau agama, yang terlihat hanyalah kegembiraan bersatu-padu memberikan sokongan.

Perpaduan rakyat Malaysia dalam bidang sukan bukan sahaja boleh kita lihat pada pemain dan pasukan kebangsaan di tanah air, tetapi juga dipanjangkan kepada mana-mana atlet yang beraksi secara profesional di luar negara. Setiap kali ada kisah anak-anak Malaysia yang bermain sukan di kelab-kelab antarabangsa dilaporkan oleh pihak media ataupun di media sosial, netizen akan pantas menzahirkan sokongan dan kebanggaan mereka tanpa mengira bangsa asalkan sahaja ahli sukan itu adalah anak jati Malaysia.

Perpaduan melalui sukan ini sebenarnya telah lama wujud. Nama-nama seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan R. Arumugam “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Tiada sesiapa pun rakyat Malaysia yang mengenal barisan para legenda ini mengikut bangsa dan agama mereka. Ini adalah contoh terbaik JIWA MERDEKA rakyat Malaysia dan juga semangat yang dipertahankan dan diperjuangkan oleh Kerajaan MADANI melalui tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2024 ini.

Sukan akan sentiasa menyatukan rakyat Malaysia kerana setiap titik peluh dan keringat pemain atau pasukan setiap peringkat, sama ada di sekolah hingga ke pentas antarabangsa akan membawa kebanggaan kepada penyokong, tanpa mengira bangsa mahupun agama. Bak kata “Supermokh” Mokhtar Dahari… If you’re ashamed to stand by your colours, you’d better seek another flag!

Kepada atlet Harimau Malaya, mengaumlah dengan bangga dan gegarkan Olimpik Paris 2024 kerana kami rakyat Malaysia akan bersatu jiwa dan raga untuk menyokong ngauman itu!

Selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA!

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Timor, Indonesia

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di  Rantau Timor, Indonesia pada...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Barat Papua, Indonesia

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Barat Papua, Indonesia pada jam...

Biz @ My LNABM @ MY LNA

Pulangan Menarik Hektar REIT kepada Pemegang Saham Diiktiraf di Centurion Club Awards 2024

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2024  – Hektar Asset Management Sdn. Bhd. (“Hektar Asset...