PETALING JAYA, 31 MEI 2024 – Institusi Jurutera Malaysia (IEM) berbangga mengumumkan Malaysia sekali lagi bakal menjadi tuan rumah bagi acara berprestij Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (CAFEO 42) daripada 22 hingga 24 Oktober 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.
Tahun ini, CAFEO 42 dijangka menarik 200 pempamer dan 1,500 peserta persidangan dari serata rantau ASEAN. Pameran yang diperluaskan ini bakal menyediakan platform unik bagi syarikat, ahli inovasi dan penyelidik bagi mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini. Ia menjadi satu ruangan dinamik bagi membina rangkaian, kolaborasi dan penemuan penyelesaian baharu yang dapat memacu sektor kejuruteraan ke hadapan.
CAFEO, satu acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir di antara negara-negara ASEAN, menjadikannya satu acara utama di dalam kalendar kejuruteraan serantau. Persidangan ini menjadi platform penting dalam penukaran ilmu, inovasi dan kolaborasi di antara jurutera, penggubal dasar dan peneraju industri. Acara ini mendapat sokongan penuh dari kerajaan negeri Sabah, dan pertubuhan kejuruteraan dari setiap negara ASEAN.
Sebagai satu acara unik yang menggabungkan penukaran ilmu, kemahiran dan jalinan perdagangan – CAFEO 42, bersama pameran yang diperluaskan berbanding tahun sebelumnya, mensasarkan RM50 juta (USD 10.6 juta) bagi nilai perniagaan, potensi penyelidikan dan kolaborasi di antara badan kerajaan, akademik dan industri.
Penganjuran di Malaysia pada tahun ini amat signifikan, di mana kali terakhir negara menjadi tuan rumah CAFEO adalah pada tahun 2015. Persidangan ini akan menemukan minda-minda terpintar di dalam bidang kejuruteraan dari setiap pelosok ASEAN.
Tema CAFEO 42 adalah “Pemetaan Pertumbuhan ASEAN melalui Transformasi Digital, Kejuruteraan Pintar dan Penyelesaian Hijau”. Tema ini menggambarkan kepentingan menyepadukan teknologi digital, menggunapakai amalan terbaik kejuruteraan pintar, dan melaksanakan penyelesaian mampan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi di ASEAN. Ia menggariskan peranan penting jurutera dalam menangani cabaran dan peluang yang terhasil daripada perkembangan teknologi yang pantas, dan keperluan segera pembangunan mampan.
“Dengan menyertai CAFEO 42, jurutera bakal mendapat perspektif lebih luas mengenai cabaran dan peluang yang dihadapi pekerjaan ini. Ianya menggalakkan kolaborasi merentas bidang dan menjalinkan solidariti di kalangan jurutera, serta mengukuhkan rasa kekuatan bersama”, kata Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin, Presiden IEM dan Pengerusi AFEO.
Selain daripada persidangan utama, CAFEO 42 bakal memperlihatkan mesyuarat kumpulan yang penting di kalangan perwakilan dari pertubuhan-pertubuhan ahli AFEO (Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN). Mesyuarat-mesyuarat ini merangkumi pelbagai jawatankuasa yang memfokuskan sektor-sektor utama seperti pembinaan, pembuatan, elektronik, tenaga, mobiliti, pengangkutan dan logistik. Perwakilan ini juga akan menyampaikan laporan negara (country report), yang mempersembahkan maklumat penting kepada perkembangan kejuruteraan dan cabaran yang dihadapi setiap negara ASEAN. Perbincangan ini penting dalam memupuk kerjasama serantau dan perkongsian amalan terbaik, merentasi lanskap kejuruteraan ASEAN yang luas.
Satu lagi acara penting di CAFEO 42 adalah Sidang WEAFEO (Women Engineers ASEAN Federation of Engineering Organizations). Sidang ini berfokuskan kepada pemerkasaan jurutera wanita dan menangani cabaran-cabaran unik yang dihadapi di dalam bidang ini.
“Saya mengalukan kedatangan anda ke majlis pelancaran CAFEO 42. Kami amat teruja dengan perjalanan (menuju acara) ini dan peluang menemukan minda terbaik kejuruteraan di rantau ASEAN. Bersama-sama, kita akan meneroka sempadan baharu, menangani cabaran bersama, dan memetakan perjalanan ke arah masa depan yang lebih cerah, lebih mampan”, kata Ir. Chin Tet Fu @ Willy, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran CAFEO 42.
Selain daripada itu, pengunjung CAFEO juga akan melihat kecantikan negeri Sabah melalui aktiviti sampingan yang dianjurkan, termasuk aktiviti lawatan di Sabah, dakian Gunung Kinabalu dan pertandingan golf bagi peserta.
Untuk maklumat lanjut dan mendaftar di CAFEO 42, layari www.cafeo42malaysia.com
Leave a comment