AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Mencari kepuasan kerja dalam Islam

321
Kepuasan bekerja akan diperoleh apabila melaksanakannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT (Jason Goodman - Unsplash)

Oleh: Prof Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi

Pekerja merupakan aset bagi sesebuah organisasi. Baru-baru ini, Malaysia meraikan hari pekerja pada 1hb Mei. Tema hari pekerja pada tahun ini ialah Pekerja Kesuma Bangsa. Pekerja pemangkin wadah Malaysia madani begitulah slogan hari pekerja pada tahun ini.

Prof Madya Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi

Kepuasan kerja merupakan terbitan hasil dari melakukan pekerjaan. Sebagai manusia, pekerja akan menilai pekerjaan mereka, sama ada mereka suka atau tidak seperti persekitaran pekerjaan, rakan sekerja, penyelia, tugasan dalam pekerjaan. Atau mereka berpuas hati ataupun tidak dengan hasil atau imbuhan yang mereka perolehi seperti gaji, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat. Terdapat banyak faktor penilaian mereka terhadap pekerjaan seperti sifat pekerjaan, penglibatan pekerja, gaji dan faedah, peluang kenaikan pangkat, penyeliaan dan rakan sekerja.

Islam tidak mengenepikan kepuasan kerja. Perkara ini boleh dilihat dalam Surah Dhuha, ayat 5 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha – berpuas hati.” Justeru, ini menunjukkan bahawa agama Islam bukan sahaja mementingkan kepada alam akhirat tetapi juga kepada kejayaan di dunia ini. Ini kerana kepuasan kerja di dunia merupakan jambatan kepada alam akhirat. Dengan melakukan pekerjaan sebaik mungkin, iaitu mengerjakannya seperti melakukan ibadah, di mana kita berniat melakukannya ikhlas kerana Allah SWT dan bukan kerana wang dan pujian orang, insya Allah, kita akan diberikan ganjaran pahala yang mana merupakan saham di hari akhirat kelak.

Terdapat banyak kelebihan apabila kepuasan kerja tercapai. Antaranya ialah ketenangan dan ketenteraman yang diperoleh hasil daripada kenaikan gaji atau pangkat. Mereka akan merasa tenang dan tenteram, tanpa perlu lagi memikirkan perkara berat yang membebani mereka sebelum ini. Justeru, mereka dapat mengerjakan pekerjaan dengan lebih baik.

Apabila fikiran mereka tenang dan perasaan mereka tenteram, mereka juga akan dapat mengerjakan ibadah dengan lebih baik. Malah, mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengerjakan ibadah dan kebaikan yang lain. Apabila berpuas hati, mereka hanya mengharapkan redha Allah dan bukan lagi pujian atau validasi dari orang lain. Mereka akan beristiqamah dengan apa yang dilakukan, iaitu mengerjakan kebaikan dan ibadah secara kerap, pada setiap masa, tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Dalam percubaan untuk memperoleh kepuasan kerja, tidak mesti tidak, seseorang pekerja akan menghadapi banyak halangan. Antaranya ialah sifat pekerjaan iaitu waktu kerja yang tidak seragam, beban kerja yang berat, tiada jaminan kerja dan kenaikan pangkat, upah yang tidak mencukupi dan tidak menentu, persekitaran kerja yang menekan seperti tiada tempat untuk mengerjakan ibadat dan tiada makanan halal disediakan serta pakaian seragam kerja yang tidak menutup aurat, persekitaran kerja yang tidak selamat dan bahaya, rakan sekerja yang tidak membantu seperti tidak komited dan tidak bertanggungjawab, malas, suka buruk sangka, ponteng kerja dan tikam belakang dan bos yang tidak membantu seperti garang dan tidak berperikemanusiaan serta tidak pandai menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Walaupun terdapat banyak halangan dalam pekerjaan, seseorang pekerja yang menjalankan tugasnya dengan baik, insya Allah akan dapat memperoleh kepuasan kerja. Justeru, bagaimanakah caranya seseorang pekerja Muslim dapat memperoleh kepuasan kerja? Secara asasnya terdapat empat kaedah seseorang pekerja Muslim dapat memperolehinya. Pertama, mereka perlu bersyukur atas segala rintangan yang dihadapi dan usaha yang diberikan, serta masa dan wang ringgit yang dihabiskan dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan mereka. Ini termasuklah hasil yang baik dari segi kenaikan gaji atau pangkat, serta pengiktirafan dan pujian daripada rakan sekerja dan bos.

Kedua, bekerja dengan ikhlas kerana Allah SWT, tanpa mengharapkan pujian dan validasi dari orang lain. Sekiranya dikecam oleh orang lain, mereka harus bersabar dengan kerenah tersebut tanpa mempertikai tindakan mereka atau mengungkit pada masa hadapan.

Ketiga, menjadikan kerja sebagai ibadah dengan berniat melakukannya kerana Allah SWT dan bukan kerana takutkan bos. Keempat, pekerja akan memperoleh rasa kepuasan dalam pekerjaan apabila dapat melaksanakan segala kerja dan tugasan yang diberi dengan penuh amanah.

Secara keseluruhannya, kepuasan kerja adalah elemen penting yang dapat membawa ketenangan, ketenteraman, dan kebahagiaan kepada seorang pekerja Muslim. Dengan cara bersyukur, ikhlas bekerja kerana Allah SWT, dan melaksanakan tugas dengan amanah, mereka pastinya dapat mencapai kepuasan yang hakiki dalam pekerjaan mereka.

Marilah kita semua berusaha untuk menerapkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian kita, agar kita bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga mendapat keberkatan dan keredhaan di akhirat. Semoga setiap usaha dan kerja kita diberkati dan diterima sebagai ibadah oleh Allah SWT.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di amieazmi@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...