AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Etika didik hibur menggunakan media sosial di sekolah

932
Jangan ditolak sepenuhnya elemen didik hibur dalam media sosial (Panos Sakalakis - Unsplash)

Oleh: Dr. Abd. Aziz Rekan, Hafeezur-Rahman Awel

Didik hibur adalah pedagogi yang menyatukan unsur-unsur pendidikan (didik) dengan elemen hiburan dalam satu aktiviti atau pengalaman pembelajaran. Dalam konteks ini, kegiatan pendidikan tidak hanya dipandang sebagai proses yang terlalu serius dan formal, tetapi juga sebagai suatu pengalaman yang menggembirakan dan merangsang minat serta keinginan untuk belajar. Pendekatan ini juga membuat pembelajaran lebih menyeronokkan dan dapat membantu murid memahami dan mengingati maklumat dengan lebih baik. Aktiviti-aktiviti dalam didik hibur yang dijalankan mungkin tidak hanya memfokuskan kepada penyampaian fakta dan konsep, tetapi juga melibatkan interaksi sosial dan kreativiti.

Dengan cara ini, pembelajaran menjadi lebih menyeluruh dan berkesan, serta membantu mengembangkan pelbagai aspek kemahiran dan kepintaran murid. Dalam konteks pendidikan moden, didik hibur merupakan kaedah penting kerana setiap murid dianggap mempunyai cara pembelajaran yang berbeza dan salah satunya adalah belajar sambil berhibur dan bermain. Sungguhpun begitu, unsur-unsur didik hibur perlulah bersifat sederhana dan tidak keterlaluan sehingga melalaikan murid terhadap matlamat dan tujuan utama pendidikan.

Pendekatan didik hibur boleh diimplimentasikan dengan platform media sosial agar sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran kelihatan segar. Baru-baru ini, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang guru sedang menari di hadapan kelas berlatarkan lagu raya. Pada kaca mata para pendidik, guru berkenaan mungkin ingin mengetengahkan unsur didik hibur dalam sesi pengajaran untuk menarik minat fokus murid-muridnya sesuai dengan konteks mereka sebagai kanak-kanak.

Situasi ini mungkin dianggap janggal oleh sebahagian netizen sehingga pelbagai spekulasi diterbitkan. Kontroversi yang melibatkan guru dengan penggunaan media sosial di sekolah telah mendapat perhatian serius daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Mana-mana guru yang menjadikan murid sebagai kandungan media sosial bagi tujuan peribadi bakal berdepan tindakan tegas dan tiada kompromoi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan membabitkan murid dalam media sosial.

Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2017 telah menyatakan dengan jelas berkenaan garis panduan nilai dan etika penggunaan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid agar kesejahteraan sistem pendidikan di Malaysia terpelihara. Menerusi SPI ini guru boleh memanfaatkan penggunaan media sosial secara positif untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bagi menambah baik kualiti sistem pendidikan dan menghubungkan guru dengan kumpulan sasaran secara meluas daripada pelbagai latar belakang sama ada yang berada di dalam atau di luar negara bagi meningkatkan sistem penyampaian pendidikan.

Walau bagaimanapun, guru dan murid perlu berhati-hati menggunakan media sosial ketika mengaplikasikan pedagogi didik hibur apatah lagi pendekatan ini mengandungi unsur kecindan dan mengetengahkan bakat murid yang boleh mengundang pelbagai persepsi. Berdasarkan SPI ini, guru dilarang menyebarkan kerja murid yang boleh mengaibkan bahkan dilarang melibatkan diri dengan aktiviti yang boleh menjurus kepada CyberStalking atau CyberHarassment. Begitu juga murid dilarang melakukan perbuatan yang menjurus kepada perbuatan buli siber seperti memberikan gelaran atau mengejek, menghantar atau menggunakan mesej kasar atau kurang sopan, menyebarkan pembohongan atau khabar angin tentang murid lain dan memuat naik gambar murid lain yang memalukan.

Penggunaan media sosial bagi tujuan didik hibur perlu mematuhi dasar sekolah, melindungi keselamatan dan privasi murid dalam talian. Keghairahan guru membuat kandungan media sosial seharusnya berorentasikan elemen pendidikan merentas masa, tempat dan sasaran, bukan untuk kepentingan peribadi. Apatah lagi, adalah menjadi satu kesalahan kepada guru menggunakan peranti peribadi seperti telefon bimbit untuk kepentingan diri semasa sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berlangsung. Sikap ini sebenarnya telah melanggar Peraturan 4(2), di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993 agar para penjawat awam tidak membelakangkan tugas hakiki mereka demi kepentingan peribadi serta perlu menjaga nama baik profesion sebagai penjawat awam.

Menjadikan murid-murid sebagai kandungan media sosial perlu mendapatkan keizinan dan persetujuan daripada diri mereka sendiri bahkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga jika perlu. Guru juga tidak semberono merakam wajah murid lalu dimuat naik dalam media sosial dengan menunggang niat pendidikan, sedangkan pada hakikatnya ingin mendambakan ‘like’, ‘view’ dan ‘follower’. Guru perlu sedar bahawa murid-murid di sekolah yang berusia bawah 18 tahun masih dikategorikan sebagai kanak-kanak berdasarkan Seksyen 2, Akta Kanak-Kanak 2001.

Mendedahkan murid-murid di platform media sosial bukan milik mereka turut memberi risiko kepada ancaman jenayah seperti menculik, membunuh, merogol, keldai dadah, dan seumpamanya. Seksyen 31(1)(a) dalam akta yang sama juga turut menjelaskan, mana-mana individu yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000.00 atau penjara tidak lebih dari sepuluh tahun atau kedua-duanya. Perkara ini seharusnya menjadi panduan berjaga-jaga kepada guru yang ingin membuat kandungan berunsur didik hibur, agar tidak menghumban diri sendiri ke kancah masalah.

Sesungguhnya elemen didik hibur mampu menyuntik minat belajar dalam kalangan murid. Menolak media sosial sepenuhnya semasa mengaplikasikan pendekatan didik hibur adalah satu tindakan yang tidak wajar. Guru dan murid perlu mematuhi garis panduan, nilai dan etika penggunaan media yang telah ditetapkan oleh KPM agar proses pembelajaran dapat diperkasakan demi kebaikan pendidikan semasa dan masa akan datang.

Dr. Abd. Aziz Rekan adalah Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di abdazizrkn@um.edu.my

Hafeezur-Rahman Awel adalah Calon Sarjana Pengajian Islam, Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...