KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Dato’ Sri Najib Razak untuk tidak membenarkan pihak media membuat liputan prosiding pemohon mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan bahawa ia perlu dibuat secara terbuka dan telus kepada umum.
Ulas BERSIH, ia disebabkan oleh kes tersebut membabitkan individu berprofil tinggi, serta melibatkan kes kepentingan umum serta dana awam seperti yang telah diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
“Perbicaraan kes berprofil tinggi sebegini harus dilihat telus dan terbuka kerana orang ramai berhak mengetahui kedudukan sebenar perjalanan kes yang sedang dibicarakan. Namun jika tidak, ia akan menimbulkan persepsi dua darjat yang boleh menghakis keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi keadilan negara kita.
Bersih sekali lagi menegaskan agar prinsip keadilan sedarjat dan keterbukaan harus sentiasa diangkat sebagai prinsip utama bagi memelihara sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang negara.” tegas BERSIH.
BERSIH turut mempersoalkan mengapa pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) tidak membuat bantahan terhadap permohonan tersebut dan mereka perlu perjelaskan kepada orang ramai alasan yang munasabah berhubung tindakan demikian.
Leave a comment