AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Diplomasi menjelang Aidilfitri jamin keteguhan institusi keluarga

307
Berdiplomasi untuk giliran pulang ke kampung halaman semasa Hari Raya akan menjamin kebahagiaan keluarga (Eyestetix Studio - Unsplash)

Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Hari Raya adalah hari yang ditunggu-tunggu setelah sebulan berpuasa dan tanda berakhirnya bulan Ramadan. Semua umat Islam tidak kira bangsa akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal tahun Hijrah. Ianya turut dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran. Ia juga merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban atau Aidiladha.

Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Di dalam menyambut hari raya, wujud isu pulang beraya di kampung siapa yang boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan pasangan suami isteri dan ahli keluarga. Seringkali kita dengar di awal bulan puasa sudah bermulalah perbincangan hendak pulang beraya di mana. Kampung suami atau kampung isteri? Sekiranya perbincangan tidak berjalan dengan baik, tidak pelik apabila suami mungkin akan menggunakan kuasa veto dalam membuat keputusan manakala isteri akan beralah. Persoalannya adalah perlu untuk para isteri terus beralah dan merajuk hati?

Di dalam sesebuah hubungan kekeluargaan, penting untuk mendapatkan persefahaman dan kesepakatan selain toleransi dalam membincangkan hendak berpagi raya di mana. Ini yang dinamakan kompromi. Kompromi bermaksud untuk menerima sesuatu perkara walaupun itu yang tidak mengikut kehendak diri, semata-mata untuk mencapai persetujuan dengan seseorang. Dalam berkompromi, salah satu pihak akan perlu mengalah, tetapi mengalahlah dengan perasaan ikhlas dan tulus. Dirisaukan yang terjadi adalah mengalah tetapi yang sebenarnya adalah memendam perasaan kerana ingin menjaga perasaan pasangan. Maka situasi itu mungkin menjadi tegang kerana isu tidak mahu bertolak ansur untuk beraya ke rumah mana dahulu pada tahun ini. Lama-kelamaan dirisaukan akan menjadi barah dan apabila pulang ke kampung pasangan, akan terzahir melalui percakapan dan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Sebagai contoh, setiap tahun sudah menjadi kebiasaan untuk pulang beraya di kampung suami kerana menyantuni ibu dan ayah suami. Walau bagaimanapun, setelah kehilangan ayah dan ibu mertua, si isteri pula berasakan sudah masa untuk pulang beraya di samping ibu dan ayah tercinta. Mungkin si suami berkeras dan berkata, dia masih ada adik-beradik yang perlu disantuni. Jadi di sini, perlulah berlaku adil dan memahami kehendak dan keperluan isteri untuk turut menyantuni ibu dan ayah dahulu barulah boleh menyantuni adik-beradik yang lain.

Perkara yang sama boleh terjadi suami, sekiranya isteri sering memanipulasi suami dengan pujuk rayu untuk pulang beraya di kampung isteri dahulu, kerana katanya memandangkan sudah duduk berhampiran dengan keluarga suami, jadi setiap hari raya perlulah pulang ke kampung dahulu. Jadi perlu diingatkan bahawa peranan sebagai suami dan isteri itu penting dalam mengingatkan di antara satu sama lain bahawa perlu menyantuni keluarga di kedua belah pihak. Sebenarnya, setiap keluarga itu unik dan tidak ada satu acuan yang boleh diikut secara total. Yang paling penting adalah keprihatinan dari suami dan isteri bagi memastikan wujud kebahagiaan, keharmonian dan keseronokan di ambang hari raya.

Anak-anak juga perlu turut serta di dalam membuat keputusan untuk pulang berhari raya. Sebagai sebuah institusi keluarga yang makmur, semua ahli diberikan peluang untuk membuat

keputusan dan memberikan pandangan. Ini kerana bila suami, isteri dan anak-anak bersatu hati, halangan yang timbul dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Masalah yang timbul adalah bila suami dan isteri tidak mahu mengalah dan sentiasa hendak menang yang boleh membawa kepada perpisahan dan mungkin perceraian. Tanpa sedar, kita sebenarnya adalah contoh terbaik untuk si anak.

Sekiranya perang mulut berlaku hanya kerana ingin pulang ke kampung, apakah kesannya pada institusi kekeluargaan dan juga anak yang memerhati? Ada juga yang tidak bersatu hati dan pulang ke kampung masing-masing kerana tidak mahu mengalah. Ini turut mengundang persoalan dari sanak saudara dan secara tidak langsung kemanisan menyambut Aidilfitri itu hilang kerana penuh dengan emosi negatif.

Bayangkan di pagi hari raya, bersalam-salaman memohon kemaafan adalah salah satu tradisi yang baik tetapi tiada pasangan atau anak-anak yang ikut serta. Apakah perasaan yang mungkin timbul?

Saranan yang terbaik adalah buatlah perancangan awal dan berlaku adil kepada kedua-dua belah keluarga. Tidak manis hanya mendahulukan sebelah pihak sahaja tetapi alangkah baiknya sekiranya dapat menyantuni ibu ayah yang sememangnya akan gembira dan bahagia apabila melihat anak cucu berbondong pulang ke kampung. Itulah makna Hari Raya Aidilfitri yang sebenar, iaitu meraikan kemenangan dan mencari kebahagiaan.

Sekiranya rumah ibu ayah di kampung penuh dengan adik beradik dan sanak saudara makanya tidak salah sekiranya sebagai ketua keluarga untuk mengajak isteri dan anak tinggal di hotel. Ini juga merupakan salah satu sebab kenapa ramai yang tidak seronok bila balik beraya dan dalam keadaan rumah yang tidak selesa di mana batas aurat sukar dijaga dan tidak ada tempat tidur yang selesa. Sewajarnya bincanglah dengan baik bersama mak ayah di kampung. Sudah pasti setiap permasalahan yang timbul akan dapat diselesaikan.

Akhir kata, sambutlah hari kemenangan ini dengan penuh gilang gemilang dan kebahagiaan. Sebulan sudah berpuasa dan kita sudah pun berperang dengan hawa nafsu, makan dan minum serta menjaga tindak tanduk. Jadi marilah diteruskan nilai dan sifat baik yang telah dilatih selama sebulan ini dan jangan mudah melenting. Berbincanglah dengan baik, gunakan tonasi suara yang lembut dan pujuklah ahli keluarga.

Jadilah seorang pemimpin yang adil dan tidak menggunakan kuasa veto sebagai suami untuk hanya memilih kampung sendiri. Berlaku adil dan sekiranya tidak dapat pulang ke kampung sendiri, maka tataplah wajah bahagia isteri dan anak, kerana di dalam sebuah perkahwinan itu, kebahagian bukan hanya untuk diri tetapi untuk keluarga. Asam garam kehidupan itu biasa, mencari redha Allah SWT yang paling utama.

Penulis merupakan Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...