AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ramadan masa terbaik contohi nilai perpaduan Rasulullah

274
Ramadan adalah anugerah untuk semua manusia tanpa mengira latarbelakang dan budaya (Hasan Almasi - Unsplash)

Oleh: Dr. Nurul Husna Mansor

Hakikatnya, perpaduan masyarakat adalah agenda utama yang telah diberikan tumpuan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah. Hal ini kerana, perpaduan adalah asas yang akan membentuk kesejahteraan dan kestabilan hidup bermasyarakat dalam sesebuah negara. Sekiranya matlamat perpaduan dapat dicapai maka ia secara tidak langsung akan dapat menghapuskan nilai-nilai tidak baik seperti sikap suka berprasangka, prejudis, skeptikal, rasis, pentingkan diri dan seumpamanya yang boleh merosakkan atau mengeruhkan hubungan antara masyarakat.

Dr. Nurul Husna Mansor

Umum mengetahui, umat Islam yang mencukupi syarat yang ditetapkan wajib menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun, pemahaman kepada falsafah puasa yang sebenar yang akan menjadikan puasa lebih sempurna. Matlamat puasa di dalam Islam bukan sekadar melafazkan niat dan menahan mulut dari makan dan minum, tetapi juga menahan seluruh anggota zahir dan batin dari melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan akhlak Islam. Justeru, ketika berpuasa umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan menahan diri dan anggota dari mengeluarkan perkataan atau berperilaku tidak baik yang boleh menyakiti sesama manusia.

Gesaan membuat kebaikan dan meninggalkan perilaku tidak baik dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-‘Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Ayat ini secara jelas menyebut bahawa umat Islam adalah umat terbaik yang diamanahkan untuk menjalankan kerja-kerja kebaikan. Justeru, menjadi tanggunggjawab kepada semua warga masyarakat yang beragama Islam untuk sentiasa menterjemahkan nilai-nilai yang baik untuk dijadikan contoh teladan. Tuntutan menjadi contoh terbaik sememangnya perlu dilaksanakan sepanjang masa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Mutakhir ini, telah tular beberapa aksi dan gelagat masyarakat yang mengaku beragama Islam namun dilihat tidak selari dengan ajaran Islam. Segala kontroversi yang sengaja dicetuskan dilihat telah mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan. Tidak kurang juga terdapat pengguna sosial Muslim yang masih gagal mengeluarkan kata-kata kesat sama ada secara verbal atau bertulis di platform maya.

Hal ini sangat mendukacitakan dan telah membentuk tanggapan yang tidak baik dalam kalangan masyarakat majmuk terutamanya masyarakat bukan Islam. Perlakuan tidak bermoral tersebut bukan sahaja memberikan impak negatif kepada agama Islam bahkan dalam sesetengah situasi boleh mencetuskan perbalahan, persengketaan dan budaya keji mengeji dalam masyarakat majmuk.

Semua yang telah berlaku menjadi penanda aras bagi kualiti puasa segelintir umat Islam ketika ini. Ini bermaksud, puasa yang dilakukan masih belum memenuhi matlamat puasa yang sebenar. Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya”(Hadis Riwayat Bukhari).

Berbalik kepada kemuliaan bulan Ramadan, umat Islam khususnya perlu mengambil peluang sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri kerana mereka adalah duta kepada Islam. Justeru, dalam konteks memupuk perpaduan, masyarakat muslim perlu sentiasa memastikan falsafah puasa dapat dihayati sebaiknya serta berusaha menjadi umat yang terbaik dan boleh diteladani. Ramadan bukan sahaja bulan di mana umat Islam berpesta ibadah, akan tetapi seleuruh masyarakat majmuk juga boleh diajak bersama untuk mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Selain bergotong royong dan bertukar juadah, bersempena dengan keberkatan Ramadan juga, perpaduan masyarakat majmuk boleh dipupuk melalui pelbagai aktiviti keilmuan sama ada melalui wacana, forum, dialong dan sebagaianya. Sekurang-kurangnya inisiatif ini akan membantu semua pihak untuk membentuk persefahaman dan kesepakatan terhadap isu-isu tertentu yang sedang melanda Masyarakat. Masyarakat majmuk ibarat sebuah keluarga, justeru sifat saling menghormati dan mengasihi perlu sentiasa diterapkan.

Bagi merancakkan lagi misi perpaduan masyarakat majmuk, institusi agama seperti masjid dan organisasi Islam lain perlu lebih progresif menjadi tuan rumah dengan membuka pintu seluasnya kepada seluruh masyarakat agar turut sama-sama mengimarahkan Ramadan. Keterbukaan, sikap berlapang dada dan bertoleransi dalam hal-hal yang dibenarkan oleh agama secara tidak langsung akan memperlihatkan keindahan Islam di mata umum. Maka seluruh masyarakat akan terhindar dari sebarang prasangka dan seterusnya menyemai semangat kebersamaan dalam usaha membangunkan negara yang harmoni dan sejahtera.

Sebagai penutup, meskipun Ramadan bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi, namun apa jua kebaikan yang sedang diusahakan perlu diteruskan agar tidak berlalu pergi bersama Ramadan. Sesungguhnya Ramadan adalah anugerah untuk semua manusia tanpa mengira latarbelakang, hanya mereka yang pandai mengambil peluang sahaja yang akan memperoleh kebaikan darinya.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di nurulhusna@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...