AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Menuai barakah Ramadan melalui anugerah nikmat sahur

281
Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersahur, walaupun hanya memakan sebiji kurma dan meminum seteguk air (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Rusli Abdul Roni

Sememangnya Ramadan adalah bulan barakah, bulan kebajikan, bulan kasih sayang Allah SWT kepada seluruh insan. Sehingga tidak satu pun masa ketika dan momen kebaikan yang ada di dalamnya tanpa nilai keberkatan. Malah sesuatu perkara yang dikategorikan sebagai adat kebiasaan pun menjadi ibadah dan keberkatan bernilai pahala dan kebajikan buat orang yang berpuasa di dalamnya. Termasuk makan sahur di penghujung sepertiga malam setiap malam-malam Ramadan yang Allah SWT sediakan. Sesungguhnya benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang kamu dustakan?” (Surah Ar-Rahman).

Berkaitan dengan anugerah syariat sahur di bulan Ramadan ini, terdapat banyak isyarat daripada Baginda Nabi SAW. Antaranya adalah seperti hadis hasan yang diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meski pun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‘azza wajalla dan para malaikatNya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur” (HR Ahmad No. 10,664).

Ketika menghuraikan hadis ini, Imam Ibn Hajar al-’Asqalani menyatakan bahawa, keberkatan pada bersantap sahur terhasil daripada aspek yang pelbagai, iaitu antaranya seperti bersahur merupakan sunnah Nabi SAW, sehingga orang yang bersahur bermakna sedang mengikut petunjuk dan sunnah Baginda. Sahur juga menjadi pembeza dengan tradisi amalan puasa ahli kitab, sebagaimana sabda Nabi SAW daripada Amr bin al-Ash bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya perbezaan puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur” (HR Muslim No. 1,836).

Dalam masa yang sama, sahur juga sebenarnya menguatkan tenaga dan menambah semangat kita untuk melakukan ibadah puasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa. Sahur juga waktu yang mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur (Rujuk Fath al-Bari, 4/140).

Justeru, makan sahur bukan hanya sekadar makan dan minum di penghujung malam, namun ia merupakan hadiah kasih sayang Allah SWT kepada orang yang berpuasa, di mana ketika seseorang itu bersahur bermakna dia sedang menerima keberkatan dan membuktikan kecintaannya kepada Rasulullah dan sunnahnya.

Oleh itu, bersahurlah kita sebagai menjemput barakah, mengambil kebaikan dan fadilat kelebihannya, walaupun hanya dengan seteguk air. Sungguh beruntung mereka yang konsisten mengekalkan sunnah bersahur. Kerana hadis baginda Nabi SAW di atas mengkhabarkan bahawa Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujianNya kepada hamba-hambaNya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat kepada Allah SWT buat mereka yang bersahur.

Lebih menguntungkan lagi kerana waktu sahur itu sendiri pula merupakan termasuk antara waktu yang mustajab berdoa, waktu yang terbaik beribadah, dan waktu yang diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan. Sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepadaKu, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepadaKu, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepadaKu, Aku ampunkannya” (HR Bukhari No. 1,094).

Pendek kata keberkatan bersahur ini dapat dikelaskan kepada dua aspek atau dua jenis keberkatan utama iaitu:

Pertamanya adalah keberkatan Syar’iyyah (rohaniyah), yakni keberkatan dalam mengikut petunjuk dan kecintaan terhadap sunnah baginda Rasulullah SAW. Keberkatan dalam makna mendapat ganjaran dan pahala, dan penyebab kepada terbukanya ruang masa dan ketika untuk berzikir, berdoa, dan beristighfar pada waktu yang merupakan waktu mustajab doanya.

Keduanya merupakan keberkatan badaniyah atau jasmaniyah, di mana keberkatan pada bersantap sahur tersebut memberikan bekalan nutrien yang cukup kepada diri yang akan berpuasa di sepanjang hari. Dan juga keberkatan yang berupa tenaga kepada tubuh serta menguatkan semangat untuk berpuasa dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar dan dahaganya puasa.

Semoga kita dipilih Allah sebagai orang yang berpuasa dan beroleh keberkatan anugerah nikmat sahur yang diperuntukan oleh Allah SWT buat kita hambaNya dan umat Nabi Muhammad SAW.

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di rusli@uniten.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...