BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAGaya Hidup @ My LNAPendapat @ My LNASukan @ My LNAUTAMA

Menilai kewajaran Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

352
Malaysia secara rasminya telah memutuskan untuk menolak tawaran menganjurkan SUKOM 2026 setelah meneliti semua aspek dan implikasi (Chau Cedric - Unsplash)

Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Rentetan penarikan diri Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel (SUKOM) 2026, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah mengutuskan delegasi rasmi pada 5 Februari lalu dan menawarkan peluang kepada Malaysia menggantikan Victoria sebagai penganjur temasya sukan kedua terbesar selepas sukan Olimpik.

Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Presiden Persatuan Sukan Komanwel Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan berita penawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 sebagai “peluang sekali dalam seumur hidup.”

Namun, pada 22 Mac 2024, Kerajaan Malaysia secara rasminya telah memutuskan untuk menolak tawaran menganjurkan SUKOM 2026 setelah meneliti semua aspek dan implikasi.

Kendatipun begitu, kita sememangnya tidak boleh menafikan romantisisme dan daya tarikan penganjuran SUKOM yang menawarkan peluang untuk kembali menyinar di pentas global seperti yang pernah kita kecapi hampir 3 dekad dahulu.

Walau bagaimanapun, peluang sebegini memerlukan penilaian tuntas ketimbang impak ekonomi, sosial dan alam sekitar kerana daya usaha penganjuran temasya sukan mega untuk mencapai prestij antarabangsa semestinya datang dengan implikasi kewangan yang sangat mahal.

Singkapan lembaran sejarah menunjukkan teladan akan kepentingan pengurusan kewangan yang teliti dan berhemat dalam konteks menyelenggarakan temasya sukan mega.

Acara sukan mega seperti Sukan Olimpik, Piala Dunia FIFA, dan kejohanan olahraga antarabangsa memerlukan perencanaan, pendanaan, dan pengurusan sumber daya yang sangat teliti dan terperinci.

Kekhilafan dalam pengurusan kewangan dapat mengakibatkan defisit belanjawan yang besar, meninggalkan beban hutang kepada tuan rumah dan kadangkala kepada negara tuan rumah itu sendiri.

Sebagai contoh, tuan rumah SUKOM sebelum ini, Birmingham City Council baharu sahaja diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu melunaskan hutang sebanyak £760 juta (RM4.56 bilion) yang sebahagiannya merupakan hutang legasi daripada penganjuran SUKOM Birmingham 2022.

Meskipun kita bakal menerima bantuan awal daripada CGF sebanyak GBP100 juta (RM598 juta), besar kemungkinan bantuan ini tidak berjaya menampung sebahagian besar daripada biaya yang diperlukan.

Peningkatan kos hampir 3 kali ganda (dari AUD2.6 bilion ke AUD7 bilion) yang dihadapi oleh Victoria kerana gagal menyediakan infrastruktur yang mematuhi syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh CGF, memberikan gambaran awal tentang cabaran yang mungkin dihadapi sekiranya kita menjadi tuan rumah SUKOM 2026.

Antara faktor utama penarikan diri Victoria ialah disebabkan kegagalan mencari tanah yang mencukupi untuk perkampungan atlet yang dibina menggunakan struktur kekal selain kos tambahan AUD2 bilion (RM6.18 bilion) yang dijangkakan akibat pelbagai cabaran logistik.

Untuk konteks, kos penganjuran yang diperuntukkan oleh Victoria bagi menjayakan SUKOM 2026 juga melebihi keseluruhan belanjawan bagi tahun 2024 untuk kementerian-kementerian yang mendukung keamanan watan kita (Kementerian Pertahanan Malaysia: RM19.7 bilion dan Kementerian Dalam Negeri: RM19 bilion).

Malahan, seusai penarikan diri sebagai tuan rumah SUKOM 2026, Victoria juga terpaksa menanggung beban kewangan yang gadang apabila mereka harus membayar denda sejumlah AUD380 juta (kira-kira RM1.17 bilion) kepada CGF.

Episod ini seharusnya menjadi teladan bagi negara kita tentang pentingnya perencanaan kewangan yang teliti lagi menyeluruh ketimbang manfaat jangka panjang dan kemampanan penganjuran SUKOM 2026.

Walaupun SUKOM Malaysia 1998 telah membawa detik manis dalam lembaran sejarah sukan negara, landskap ekonomi yang sangat berbeza hari ini memerlukan pendekatan strategik yang lebih komprehensif.

Sebagai contoh, kedudukan ekonomi negara kita menjelang penyelenggaraan SUKOM ‘98 berada pada dasar yang sangat kukuh kerana belanjawan negara kita mencatatkan lebihan bagi lima tahun sebelum SUKOM ’98 yang menandakan kekuatan ekonomi negara yang signifikan.

Sebaliknya, sejak terjadinya Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1998 hingga saat ini, negara kita berterusan mengalami belanjawan defisit, di mana perbelanjaan secara konsisten melebihi pendapatan negara.

Selain itu, dengan temasya yang hanya berbaki dua tahun dari sekarang, kita mendepani tantangan masa yang suntuk untuk mengintegrasikan acara besar itu ke dalam pelan strategik ekonomi yang telah kita rangka selama ini.

Malahan, menurut Tun Hashim Mohd Ali, negara kita mengambil masa hampir 4 tahun bagi merancang dan menjayakan SUKOM 98.

Desakan waktu memerlukan usaha intensif yang sering kali melibatkan penggunaan tenaga kerja tambahan yang akhirnya meningkatkan biaya pengoperasian.

Di samping itu, keperluan untuk mempercepat semua proses dapat menghasilkan keputusan yang kurang hemat. Termasuklah sela masa rundingan yang dipercepat, pemilihan kontraktor yang cemerkap atau bahan yang mungkin tidak berkualiti jika kita memiliki waktu penilaian yang singkat.

Ketika mana waktu pelaksanaan projek berkaitan SUKOM 2026 menjadi sangat mendesak, harga bahan atau tenaga kepakaran tertentu bakal meningkat akibat permintaan mendadak yang harus segera dipenuhi.

Alhasil, para penyedia perkhidmatan, vendor dan pembekal yang menyedari keperluan mendesak ini mungkin meningkatkan harga mereka untuk memanfaatkan situasi tersebut yang akhirnya akan meningkatkan kos penganjuran.

Namun begitu, terdapat cadangan dari sesetengah pihak untuk menggembleng sumbangan dari individu terkaya di negara terutama sekali yang telah mengecap kejayaan melalui projek dan kontrak kerajaan untuk sama-sama menggembleng dana sehingga RM1 bilion.

Meskipun cadangan ini mungkin kelihatan sebagai penyelesaian yang praktikal, kita perlu menjawab dan mempertimbang persoalan-persoalan etika dan keberkesanan jangka panjang.

Sebagai contoh, idea meminta hartawan negara menyokong kewangan penganjuran SUKOM boleh mewujudkan pergantungan berisiko terhadap dana swasta untuk projek awam.

Natijahnya, idea sebegini boleh mengakibatkan kesan yang tidak disengajakan (unintended effect) iaitu pembiayaan yang hanya diberikan kepada projek-projek awam yang hanya memberikan pulangan yang menarik atau memberikan impak positif kepada pelabur swasta sahaja, sekali gus mengabaikan keperluan awam yang penting.

Oleh yang demikian, kita perlu memastikan bahawa manfaat yang diperolehi daripada penganjuran acara berskala besar ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Kita tidak boleh menafikan potensi pelaburan dalam sukan yang dilaksanakan dengan strategi yang jelas dan bertanggungjawab mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi, peningkatan atau penambahbaikan infrastruktur, memberikan limpahan ekonomi ke atas sektor pelancongan, dan pembangunan modal insan.

Justeru, Malaysia telah mengambil keputusan sukar namun bijak untuk tidak menganjurkan SUKOM 2026 yang juga sejajar dengan wadah Ekonomi MADANI melalui Laporan Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang menggariskan gagasan kepimpinan transformatif untuk membuat “keputusan yang penting dan sukar demi kebaikan rakyat dan negara.”

……

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...