KUANTAN 27 Mac 2024 – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh telah mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan RAHMAH Mahkota Square (Taman Kerang), Kuantan, Pahang sekali gus melancarkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 semalam.
Program BRR merupakan salah satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Program Payung RAHMAH MADANI untuk menggalakkan para peniaga BRR menawarkan Menu RAHMAH sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup sepanjang bulan Ramadan ini.
Timbalan Menteri turut melancarkan Program MySaveFood 2024 Peringkat Negeri Pahang. Program MySaveFood Ramadan merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan Food Waste Management di bazar Ramadan secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman (yang selamat dimakan/diminum) yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar.
Program tersebut merupakan kerjasama strategik KPDN Pahang bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Negeri Pahang dan dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang melibatkan seramai 30 orang sukarelawan meliputi 3 buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Widad University College, Cosmopoint College Kuantan dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.
“Penglibatan golongan muda khususnya dikalangan para pelajar dalam menjayakan Projek MySaveFood ini mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi usaha mengelakkan pembaziran makanan khususnya di Negeri Pahang.
Sebagai rekod pencapaian pelaksanaan Projek MySaveFood pada 14 hingga 25 Mac 2024, 129.3 kilogram makanan dan 104.0 kilogram minuman berjaya dikumpulkan dari Bazar Ramadan Taman Kerang.
Makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan ini akan dikumpulkan oleh sukarelawan dan akan diagihkan kepada pelajar IPT, golongan gelandangan dan golongan yang memerlukan.” kata KPDN Pahang.
Di samping itu, KPDN telah melaksanakan OPS PANTAU bermula 12 Mac 2024. OPS PANTAU 2024 telah dilaksanakan secara seragam di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian.
“Sehingga kini, Penguat kuasa KPDN Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 3,239 premis sejak 12 Mac 2024
sehingga 26 Mac 2024 di bawah OPS PANTAU 2024. Sebanyak 13 kes telah dihasilkan di bawah AKHAP 2011 dan ATS 1972 oleh KPDN Pahang sepanjang OPS PANTAU 2024 dilaksanakan.” kata KPDN Pahang.
Leave a comment