AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNASains, Teknologi & Komunikasi @ My LNAUTAMA

Adaptasi AI dalam kurikulum mengikut keperluan semasa

573
Mengintegrasikan teknologi baharu seperti realiti maya (VR) ke dalam kurikulum AI dapat meningkatkan penglibatan pelajar (Jessica Lewis - Unsplash)

Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Siti Hajar Halili

Kecerdasan Buatan atau Kepintaran Buatan (AI) dalam pendidikan perlu disesuaikan dengan kandungan pendidikan semasa, memberi pengalaman pembelajaran bagi memenuhi keperluan pelajar dan membolehkan pembelajaran personal dilaksanakan bagi menyesuaikan pelbagai gaya pembelajaran. Dengan perkembangan teknologi AI pada masa kini, adalah penting untuk mengadaptasi kurikulum AI seiring dengan trend dan pembangunan pendidikan bagi memenuhi permintaan industri.

Prof. Madya Ts. Dr. Siti Hajar Halili

Untuk membangunkan kurikulum dalam bidang AI, beberapa fasa perlu dilaksanakan seperti reka bentuk, pelaksanaan dan penilaian program pendidikan yang merangkumi konsep, prinsip dan aplikasi AI untuk memberikan pemahaman mendalam kepada pendidik dan pelajar berkaitan asas berkaitan teknologi AI. Kurikulum AI yang direka bentuk dengan baik perlu meliputi dari aspek multidisiplin dan keselarasan dengan piawaian industri serta objektif pendidikan.

Walau bagaimanapun, mengembangkan dan mengadaptasi kurikulum AI mempunyai pelbagai cabaran dan kekangan. Salah satu aspek penting untuk pembangunan kurikulum AI adalah menentukan keberkesanan dalam pendidikan berasaskan hasil (OBE). Pengubal kurikulum perlu mengenal pasti kepentingan konsep, kemahiran, dan kompetensi AI yang harus dicapai oleh pelajar melalui kurikulum yang diperkenalkan. Reka bentuk kerangka kurikulum yang digubal perlu memberi tumpuan kepada prinsip-prinsip asas dan konsep daripada teknologi AI agar lebih fleksibiliti yang dapat mencapai semua elemen objektif pembelajaran program (PEO), hasil pembelajaran program (PLO), dan hasil pembelajaran kursus (CLO).

Kurikulum AI haruslah menarik, relevan dan mudah diakses kepada pelajar dari pelbagai latar belakang dan gaya pembelajaran. Ini kerana AI bukan hanya tentang koding atau algoritma, tetapi juga tentang bagaimana menggunakan data untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Ini bermakna ia boleh boleh diperkenalkan kepada pelbagai subjek dari Matematik dan Sains hingga subjek yang berteraskan bidang Sains Sosial dan Seni.

Untuk mencapai perkara ini, kreativiti dan kerjasama perlu dijalin dalam kalangan pendidik untuk mengadaptasi konsep AI dalam subjek masing-masing. Dengan menjadikan AI relevan dengan keperluan perkembangan semasa, pendidik dapat membantu pelajar dalam mencapai hasil dan nilai pembelajaran yang diperolehi.

Oleh itu, pengintegrasian AI dalam kurikulum memerlukan peranan penting dan tanggungjawab oleh pendidik. Mereka memerlukan peluang pembangunan profesional dan sokongan untuk menyesuaikan diri dengan paradigma pengajaran dan pembelajaran baharu. Kepesatan perkembangan teknologi AI menjadi cabaran bagi pendidik untuk menjaga kualiti dan kelestarian kandungan kurikulum yang relevan dan terkini.

Mungkin ada di antara pendidik yang tidak berasa yakin atau cukup mahir untuk mengadaptasi konsep AI, terutama jika mereka tidak mempunyai latar belakang dalam bidang Sains Komputer atau Teknologi. Namun, dengan sokongan dan sumber yang betul, mereka dapat belajar bagaimana mengajar dan mengadaptasi AI dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini memerlukan kerjasama berterusan antara pendidik, industri, penyelidik dan pembuat dasar untuk mengenal pasti keperluan pendidikan yang berkembang dan mengemaskini kurikulum sewajarnya.

Selain itu, penyertaan dari pelajar dan pihak berkepentingan boleh membantu memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum AI agar relevan, menarik dan efektif. Mendapatkan maklum balas dari pihak industri dan majikan juga membantu memastikan kurikulum AI selari dengan keperluan dan piawaian industri dengan memberikan pandangan berkaitan trend, amalan dan keperluan semasa pekerjaan. Ini kerana, dengan melibatkan rakan industri, institusi penyelidikan dan komuniti dapat memberikan pelajar peluang untuk mendapatkan bimbingan dan latihan praktikal dalam bidang berkaitan AI.

Memberikan pelajar peluang pembelajaran berasaskan pengalaman seperti latihan praktikal, program bimbingan dan kerjasama industri membolehkan mereka mendapatkan pengalaman praktikal dalam menggunakan konsep dan teknologi AI dalam dunia nyata dengan mengembangkan kemahiran agar dapat mempersiapkan mereka untuk menceburi alam pekerjaan.

Untuk mengadaptasi AI dalam kurikulum, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menawarkan struktur kursus yang fleksibel yang membolehkan pelajar menyesuaikan pendidikan AI berdasarkan minat dan matlamat kerjaya mereka. Misalnya, institusi pendidikan menawarkan kursus elektif atau trek khusus dalam bidang AI seperti pembelajaran mesin, robotik atau sains data ke dalam pelbagai subjek.

Seterusnya, mengintegrasikan teknologi baharu seperti realiti tambahan (AR), realiti maya (VR), dan rantaian blok ke dalam kurikulum AI dapat meningkatkan penglibatan pelajar dan memberikan peluang untuk melakukan eksperimen dan penerokaan secara praktikal. Selanjutnya, menilai keberkesanan hasil pembelajaran dan pemahaman pelajar merupakan satu cabaran lain bagi pendidik dalam mengadaptasi AI dalam pendidikan. Bentuk penilaian tradisional seperti peperiksaan, ujian atau esei mungkin tidak dapat dinilai sepenuhnya untuk mengenal pasti pencapaian kemahiran dan kompetensi yang diperlukan untuk menilai keberkesanan pembelajaran berasaskan AI.

Untuk melaksanakan AI dalam kurikulum, mekanisme penilaian secara berkala perlu dipantau secara berterusan bagi membolehkan pendidik memantau kemajuan pelajar, mengenal pasti bidang-bidang yang perlu diperbaiki dan membuat penyesuaian kepada keperluan penambahbaikan dalam kurikulum AI. Maklum balas dari pelajar dan hasil penilaian dapat memberi maklumat untuk menambahbaik kurikulum bagi memenuhi objektif pendidikan dengan lebih baik.

Oleh itu, pendidik perlu mengembangkan kemahiran literasi digital untuk menavigasi dan memahami bagaimana untuk menjalankan penilaian dengan berkesan termasuk kaedah penilaian formatif dan sumatif. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan latihan dan sokongan kepada pendidik untuk mengintegrasikan alat dan sumber AI secara efektif dalam amalan pengajaran mereka, termasuk bagaimana untuk memudahkan pembelajaran berdasarkan penyiasatan dan aktiviti berasaskan projek berkaitan AI.

Pendidik memerlukan latihan dan sokongan berterusan untuk mengintegrasikan alat dan teknologi AI ke dalam bilik darjah dan amalan pengajaran mereka. Menyediakan peluang pembangunan profesional untuk pendidik dapat memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan sumber yang diperlukan untuk mengajar konsep dan teknologi AI secara efektif. Sebagai contoh, pendidik boleh mengambil bahagian dalam bengkel, persidangan, kursus dalam talian, dan komuniti pembelajaran yang memberi tumpuan kepada pendidikan AI.

Selain itu, pertimbangan etika merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan dalam mengadaptasi AI dalam kurikulum. Perbincangan mengenai pertimbangan etika seperti keadilan dan privasi ke dalam kurikulum AI adalah penting agar pelajar mempunyai kesedaran berkaitan isu-isu etika agar dapat memastikan mereka menggunakan AI untuk kebaikan dan memberi kuasa untuk membuat keputusan apabila menggunakan AI dalam kehidupan mereka.

Melalui pendedahan kesedaran etika yang berterusan, pendidik dan pelajar dapat menjadi pengamal AI yang lebih bertanggungjawab dan beretika yang dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat. Kebimbangan lain dalam mengadaptasi AI dalam kurikulum adalah untuk mengatasi jurang digital agar dapat memastikan semua pelajar mempunyai akses kepada teknologi dan penyambungan internet yang diperlukan.

Untuk mengatasi kebimbangan ini, pihak bertanggungjaab boleh menawarkan biasiswa, geran dan program bantuan kewangan agar membantu mengurangkan halangan kewangan bagi pelajar yang kurang bernasib baik dengan menyediakan akses kepada komputer, internet agar dapat menggunakan AI atau platform pembelajaran dalam talian. Institusi pendidikan juga boleh menyediakan komputer riba atau peranti mudah alih kepada pelajar yang memerlukannya. Ini adalah untuk memastikan akses yang saksama agar pelaksanaan kurikulum AI dalam pendidikan dalam dilaksanakan dengan efektif.

Seterusnya, meneroka pelbagai pedagogi inovatif terkini seperti pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan penyiasatan dan pembelajaran lencana terbuka dapat meningkatkan integrasi kurikulum AI dalam pendidikan dengan mempromosikan pembelajaran aktif, penglibatan pelajar dan memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar. Dengan mengadaptasi pedagogi inovatif dalam kurikulum, ia dapat membantu pendidik dan pelajar agar dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang pelaksanaan AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam mengintegrasikan AI dalam kurikulum, kemampuan untuk menilai kebanjiran maklumat dalam talian adalah penting. Dalam zaman digital masa kini yang mana maklumat yang salah, kandungan berat sebelah dan naratif yang dimanipulasi berlimpah menyebabkan pendidik dan pelajar tidak memahami bagaimana algoritma AI membentuk kandungan yang mereka perlukan. Untuk mengatasi ini, pendidik harus terlibat dalam pembangunan profesional berterusan dan bekerjasama dengan rakan industri untuk menjelajah landskap maklumat dalam talian secara lebih efektif agar dapat mengurangkan kesan negatif maklumat yang salah dan algoritma yang berat sebelah.

Secara kesimpulannya, pembangunan dan penyesuaian kurikulum AI adalah penting untuk mempersiapkan pelajar untuk berjaya dalam dunia yang dipacu oleh kepesatan perkembangan teknologi AI. Mengadaptasi kurikulum AI untuk memenuhi keperluan pelajar memerlukan proses yang berterusan.

Dengan merancang kurikulum AI yang menyeluruh, multidisiplin yang selaras dengan piawaian pihak industri, oleh itu pendidik dapat melengkapi pelajar dengan pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang diperlukan untuk berjaya dalam era AI. Perkara ini dapat memastikan pelajar mendapat pendidikan yang relevan, menarik dan berkualiti tinggi agar dapat mempersiapkan mereka untuk berjaya dalam memenuhi keperluan kebolehpasaran pekerjaan.

AI dalam pendidikan tidak bermakna akan menggantikan kreativiti manusia dan kemahiran pemikiran kritis akan tetapi membantu dalam melengkapi sistem pendidikan dengan pengintegrasian alat dan sumber AI yang dapat memberi inspirasi inovasi dan penyelidikan dalam pendidikan.

……

Penulis merupakan Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di siti_hajar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...