Makanan merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam memastikan kesihatan. Makanan secara harfiah akan menjadikan siapa kita dan mempengaruhi keadaan kesihatan kita, seperti pepatah, “kita adalah apa yang kita makan” (we are what we eat). Ketersediaan 17 jenis minyak sayuran dan lemak haiwan di pasaran lebih menyulitkan keadaan di mana pemilihan yang tepat, aplikasi, dan pengendaliannya telah dianggap remeh oleh sesetengah komuniti.
Usaha memberi pendedahan kepada komuniti berkenaan industri sawit (penyumbang ekonomi utama Malaysia) secara umum, menyalurkan pengetahuan mengenai pengetahuan mengenai industri sawit dan minyak masak dari pelbagai aspek telah direalisasikan oleh Dr. Noordini Mohamad Salleh, Prof. Madya Dr. Cheng Sit Foon, dan Dr. Muhammad Aqmal Othman yang merupakan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) melalui projek penyelidikan OleoRangers@UM Living Lab.
OleoRangers@UM Living Lab telah ditubuhkan di bawah peruntukan penyelidikan yang disalurkan oleh Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) untuk memberi kesedaran tentang minyak masak dari pelbagai aspek dan melahirkan komuniti yang berpengetahuan tinggi tentang apa yang mereka makan. Melalui soal selidik yang telah dijalankan, secara amnya telah menunjukkan komuniti masih mempunyai ruang untuk memperkasakan ilmu dan pemahaman mengenai minyak masak yang lazimnya digunakan dalam penyediaan makanan harian. Terdapat kekeliruan yang jelas dan amalan yang buruk dalam pemilihan, penggunaan, dan pengendalian minyak masak. Tambahan pula, dengan pengaruh media sosial yang sering merendahkan kebaikan minyak sawit berbanding dengan minyak yang lain seperti minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak canola, dan minyak bunga matahari.
Untuk mencapai matlamat tersebut, satu pameran yang dinamakan ‘Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future! ’ telah julung kali diadakan di Dataran Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pameran tersebut bertemakan ‘Awareness Creation, Knowledge Enhancement and Optimum Utilisation of Cooking Oils’ juga telah mendapat sokongan padu dari Malaysian Oil Scientists’ and Technologists’ Association (MOSTA), Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Profes Lipid Sdn. Bhd.
Menurut ketua penyelidik, Dr. Noordini Mohamad Salleh, program ini bertujuan memberikan kesedaran dalam pemilihan, penggunaan serta pengendalian minyak masak yang betul dalam komuniti. Program seperti ini nanti akhirnya akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang melibatkan SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; dan SDG3 – Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik. Seramai 280 pengunjung yang terdiri dari staf akademik, staf bukan akademik dan pelajar siswazah dan pasca siswazah telah hadir ke pameran berkenaan. Mereka diberi peluang belajar secara dekat dengan melihat sampel pameran, poster yang menarik serta diberi penerangan terperinci oleh pasukan OleoRangers. Bagi menjadikan pameran ini lebih menarik, permainan yang bersifat interaktif telah disediakan. Konsep pasport digunakan untuk pengunjung mendapatkan cop selepas berjaya melibatkan diri dalam aktiviti / permainan di setiap gerai pameran yang
berasaskan aktiviti industri huluan (upstream activity – oil palm cultivation), hinggalah aktiviti hiliran (downstream activity – oleochemicals industry). Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Profes Lipid Sdn. Bhd. juga telah bersama memberi pengetahuan dan kesedaran melalui pameran mereka. Ganjaran istimewa berupa totebag dengan lakaran eksklusif serta rantai kunci OleoRangers yang dibuat khas menggunakan cetakan 3D turut disediakan untuk pengunjung yang telah berjaya melengkapkan pasport mereka.
Pameran ini turut dilawati Academician Tan Sri Profesor Emeritus Datuk Dr. Augustine S. H. Ong merangkap Presiden Malaysian Oil Scientists’ and Technologists’ Association (MOSTA) yang diiringi oleh barisan pengurusan tertinggi Fakulti Sains iaitu Timbalan Dekan Penyelidikan dan Ketua Jabatan Kimia, UM.
Diharapkan dengan penganjuran aktiviti seperti ini matlamat untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai industri sawit dan minyak masak tercapai melalui penglibatan pengunjung secara langsung di setiap gerai pameran. Antara intipati penting adalah minyak sawit merupakan minyak masak yang paling stabil pada suhu tinggi dan ciri-ciri penting ini menjadikannya sebagai pilihan tepat untuk menggoreng makanan. Minyak masak lain seperti minyak soya, minyak bunga matahari, minyak canola dan minyak zaitun tidak mempunyai kestabilan pengoksidaan sebaik minyak sawit. Bukan itu sahaja, minyak masak sawit juga mempunyai kesan profil kolesterol yang baik seperti minyak zaitun, seperti kajian saintifik. Hal ini tidak diketahui orang ramai dan minyak sawit sering diperkatakan kurang sihat berbanding minyak zaitun.
Penyelidik bersama, Profesor Madya Dr. Cheng Sit Foon yang juga merupakan Ketua, Unit of Research on Lipids (URL), berhasrat untuk meneruskan lagi misi OleoRangers dengan menyalurkan maklumat dan pengetahuan mengenai industri minyak dan lemak secara umumnya, dan industri sawit khasnya, serta melahirkan komuniti berlandaskan pengetahuan (knowledge-based community) melalui URL pada masa akan datang.
…
Maklumat lanjut mengenai penyelidikan ini boleh didapati melalui Dr. Noordini Mohamad Salleh di dini@um.edu.my
Leave a comment