KUALA LUMPUR, 3 Januari 2024 (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengumumkan bahawa bermula Januari 2024, Radio IKIM akan dikenali sebagai IKIMfm. Penjenamaan semula ini bagi menyasar pelbagai golongan pendengar untuk terus mendapat inspirasi dari setiap rancangan yang disiarkan.
IKIMfm dengan wajah baharu, turut memperkenalkan tagline baharu iaitu ‘Inspirasi Utama Anda’. IKIMfm membawa strategi kandungan yang mengangkat tema inspirasi kepada semua selepas pelantikan Pengarah Pusat Media IKIM, Tn. Hj. Ahmad Fuad Mat Ali pada bulan lepas.
Ahmad Fuad menyifatkan barisan penyampai yang bertenaga dan kandungan rancangan yang lebih segar dengan mengekalkan penyampaian mesej dakwah yang menjadi identiti IKIMfm bagi memacu objektif IKIM dalam menyampaikan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. Penjenamaan semula menjadi wadah penting dalam penyampaian setiap rancangan IKIMfm dalam usaha meletakkan radio itu sebagai sumber inspirasi kepada para pendengarnya.
Menurut Ahmad Fuad, IKIMfm telah melakukan beberapa strategi baharu melalui pengisian kandungan rancangan yang lebih banyak menyentuh isu-isu semasa dan terkini dengan semangat untuk menyalurkan maklumat terkini selain penampilan wajah-wajah baharu sebagai baris hadapan radio IKIMfm.
Pendengar IKIMfm akan disajikan dengan siri rancangan ‘pengajian kuliah’ melalui pendekatan pengajian berkitab yang diterbitkan, antaranya rancangan pengajian Matan Zubad pada setiap Khamis jam 10.00 pagi, rancangan pengajian berkitab “Bicara Darah Wanita” pada waktu yang sama Hari Isnin, Rancangan Eksplorasi Minhaj pada pukul 3.10 petang hari Khamis serta Rancangan Mutiara Hadis yang membicarakan tentang Hadis 40 Imam Nawawi pada Hari Jumaat pukul 3.10 petang.
Menurut Ahmad Fuad, IKIMfm akan menjadi media yang terkehadapan dalam membincangkan isu-isu Palestin sebagai isu ummah yang tidak hanya diperkatakan mengikut musim, tetapi akan dibicarakan sepanjang tahun. Oleh itu, IKIMfm menyajikan rancangan “Cinta Palestin” yang bersiaran setiap hari Khamis pada pukul 8.30 pagi.
Selain itu, IKIMfm akan menambahbaik beberapa rancangan antaranya rancangan berbentuk pengajian tafsir al-Quran menerusi Rancangan “Lembayung Al-Quran” bersama Datuk Dr. Zahazan Mohamad yang jadual siarannya pada jam 6.40 pagi setiap hari. Antara lain juga, rancangan Pesona D’Zahra akan diubah waktu siaran ke pukul 5.00 petang setiap Isnin bagi memenuhi permintaan ramai pendengar IKIMfm.
“Perubahan positif ini diharap akan mengukuhkan lagi jenama radio IKIMfm dan menjadi misi utama kami agar setiap rancangan yang disiarkan bakal memberi manfaat kepada masyarakat terutama kepada pendengar IKIMfm sendiri sekaligus sebagai satu usaha melebar luas ruang pemasaran kepada pengiklan yang berminat memasarkan produk mereka di radio IKIMfm”. Ujarnya
Seiring dengan kemajuan digital, IKIMfm juga menyediakan platform audio podcast sebagai pilihan pendengar bagi mengikuti rancangan-rancangan di radio secara lebih kerap mengikut keperluan, kehendak dan masa mereka. Kesemua audio rancangan radio yang dibekalkan di podcast adalah daripada segmen Inspirasi Pagi, Inspirasi Ilmu, Inspirasi Jiwa, Kembara Inspirasi dan Suara Inspirasi. Kini pendengar boleh mengikuti kesemua rancangan IKIMfm pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada melalui audio podcast yang disediakan.
Leave a comment