PUTRAJAYA, 26 Disember 2023 – Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh pada Rabu, 13 Disember 2023 yang lalu, nama rasmi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan telah dipinda kepada KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN.
Manakala singkatan nama (akronim) masih dikekalkan iaitu KPKT.
Nama kementerian di dalam Bahasa Inggeris ialah MINISTRY OF HOUSING AND LOCAL GOVERNMENT dan nama baru ini akan diwartakan secara rasmi di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 [Akta 2].
Menurut KPKT, penyusunan semula nama rasmi tersebut dilihat menjadi keutamaan Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan dalam memastikan penyediaan perumahan mampu milik yang mencukupi dan berkualiti di negara ini.
Katanya lagi, penyediaan rumah mampu milik merupakan teras utama KPKT bagi pembinaan 500,000 unit rumah di seluruh negara khususnya untuk kumpulan B40 dan M40 menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Hala Tuju Strategik melalui pelaksanaan Visi dan Misi KPKT terus diperkasakan menerusi lapan (8) Fungsi Utama KPKT seperti berikut:
i. Perumahan Mampu Milik;
ii. Perancangan Bandar;
iii. Pembangunan Landskap;
iv. Pemerkasaan Kerajaan Tempatan;
v. Kebombaan dan Penyelamatan;
vi. Pengurusan Sisa Pepejal;
vii. Pendayaupayaan Komuniti; dan
viii. Kredit Komuniti dan Pajak Gadai.
Tambahnya, Kerajaan komited dalam merealisasikan agenda dan fokus utama iaitu bagi meneraju kemakmuran komuniti bandar dan persekitaran mampan.
Katanya, aspek daya huni rakyat akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.
Leave a comment