Pendapat @ My LNA

Isu Ashabul Kahfi: Apa yang kalutnya UAI sampai nak kata PM sesat? – Shamsul Iskandar

895

Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri

Baru-baru ini, kenyataan PM tentang pemuda Ashabul Kahfi telah tular dan hangat dibincangkan di media sosial. Sebelum mengulas isu ini dengan lebih lanjut, jemput tonton video di sini:

Ustaz Nazrul Nasir dan ramai para ulama telah pun menjawab soalan ini mengikut jawapan yang sama, sepertimana yang disebut oleh Majlis Fatwa Jordan pada tahun 2012, iaitu orang Nasrani yang hidup pada zaman Ashabul Kahfi itu tidak memegang fahaman triniti yang terpesong dengan akidah, sebaliknya mereka ini memegang tauhid kepada Allah Yang Maha Esa.

Dan orang Nasrani, dan orang Masihi atau kini dikenali sebagai Kristian, adalah dari agama yang sama. Adapun demikian, perbezaan antara Nasrani pada zaman Ashabul Kahfi dengan Kristian pada hari ini ialah orang Nasrani itu tidak mempercayai prinsip triniti yang mempercayai bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan, dan bukannya seperti hari ini. Dalam Kristian hari ini pun, walaupun bukannya majoriti, seperti Katolik atau fahaman lain seperti Baptis, Lutheran, Anglikan atau yang lain-lain, tetapi masih ada golongan Kristian yang menolak fahaman triniti ini, dan mereka digelar sebagai nontrinitianist.

Antara mazhab nontrinitianist yang terkenal ialah Jehovah Witnesses, Mormonism, dan Oneness Pentecostalism. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir, dalam terjemahannya bermaksud: “Telah disebutkan bahawa mereka mengikuti agama Nabi Isa yang merupakan anak kepada Maryam. Namun secara zahirnya mereka sebelum agama Nasrani, kerana jika mereka mengikuti agama Nasrani, para pendeta Yahudi tidak akan memberi perhatian untuk memelihara kisah mereka, kerana permusuhan mereka dengan Nasrani.”

Perkataan Kristian atau Christian berasal dari bahasa Greek iaitu ‘christos’ atau ‘kristus’ yang bermaksud ‘the anointed one’ merujuk kepada maksud ‘yang diurapi’. Perkataan kristus pula, ialah merujuk kepada Jesus oleh penganut agama Kristian.

Selain itu, agama Kristian juga dikenali dengan agama Nasrani merupakan agama samawi yang mana ia dibawa oleh Nabi Isa AS kepada Bani Israil supaya mengikut syariat serta mentauhidkan Allah SWT. Namun, setelah Nabi Isa AS diangkat ke langit agama Kristian telah berubah daripada ajaran asalnya.

Kendati para ulama berbeza pendapat tentang perkara ini, tetapi belum sampai mereka mengisytiharkan orang yang tidak sependapat dengan mereka sebagai ‘sesat’. Sifat takfiri yang begitu menebal, perangai suka memanggil orang yang tidak bersependapat dengan panggilan seperti ‘sesat’ dan ‘kafir’ ini adalah sifat yang buruk yang harus dielakkan.

Pada tahun 1963, Mufti Negeri Terengganu, Sayyid Yusuf bin Ali Az-Zawawi mengeluarkan fatwa berkenaan tuduhan kafir-mengkafir. Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda: Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).

Dalam surah Al-Ahzab ayat 58: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Penceramah Azhar Idrus pada hantarannya di Facebook pada 6 Julai 2018 (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02QAtRoxZP56zVUjBER1xCQpMUP258Gg9Ec1r9f972xm5k48ZkThsGEFL1GZtuijxSl&id=195600903791298&mibextid=Nif5oz…) ada berkata: “Ya, benar bahwa Yahudi dan Kristian juga ada yang masuk syurga. Yahudi yang masuk syurga adalah mereka yang taat kepada nabi-nabi mereka di zaman mereka. Misalnya adalah para pengikut nabi Musa ‘alaihis salam. Kristian yang masuk syurga adalah mereka yang taat kepada Nabi ‘Isa alaihis salam di zaman beliau.”

Beginilah, kalau penceramah Azhar Idrus nak bermain polemik agama dalam politik, terserahlah. Tetapi adab serta akhlak untuk menegur itu haruslah dijaga kerana seorang penceramah itu harus menjadi contoh dan suri tauladan kepada ramai orang. Janganlah kerana politik, maka tergelincir sehingga timbul sifat takfiri dan mula menuduh sesat kepada orang lain kerana sikap itu dimurkai oleh Allah SWT.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Dekati banduan demi menyelami masalah masyarakat

Oleh Dr Abd Razak Zakaria Setiap manusia melakukan kesalahan. Namun kesalahan yang...

AMBM @ MY LNAPendapat @ My LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

Iklim organisasi yang sihat tingkat kesihatan mental di tempat kerja

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Prof. Madya Dr. Ahmad Zabidi...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Trend pemikiran childfree menjerumuskan negara ke arah pembentukan masyarakat tua

Oleh: Nurul Ashikin Alias Matlamat bagi setiap individu yang telah mengikat tali...

Agama @ MY LNABM @ MY LNAPendapat @ My LNA

Qunut nazilah itu khusus sifatnya

Oleh Prof. Madya Dr Mohd Khairul Naim bin Che Nordin Dalam Islam,...