Menurut Laporan Harian Bencana yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sehingga 25 Disember 2023, jam 12.00 tengah hari, terdapat sepuluh (14) daerah di lima (5) negeri (Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan) yang dilanda banjir dengan peningkatan ketara jumlah mangsa kepada 5,018 dalam tempoh 24 jam (berbanding 1,741 mangsa pada 24 Disember 2023).
Ia melibatkan 1,361 keluarga yang ditempatkan di 77 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Manakala jumlah PPS yang dibuka juga bertambah berbanding 21 buah pada 24 Disember 2023.
“Tiga (3) daerah yang paling teruk terjejas adalah Pasir Mas, Kelantan (1,174 mangsa), diikuti Dungun, Terengganu (1,157 mangsa) dan Tanah Merah, Kelantan (733 mangsa).
Terdapat dua (2) kematian akibat banjir MTL yang melibatkan satu (1) kanak-kanak lelaki di Kota Bharu, Kelantan (26 November 2023) dan satu (1) kanak-kanak perempuan di Pasir Mas, Kelantan (24 Disember 2023) direkodkan setakat ini.
Manakala satu (1) kanak-kanak perempuan masih lagi dilaporkan hilang di Pasir Mas, Kelantan pada 24 Disember 2023.” kata NADMA.
Tiga (3) stesen meteorologi utama yang mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi pada 24 Disember 2023 adalah Kuala Terengganu, Terengganu (108.4 mm), Kuala Krai, Kelantan (107.6 mm) dan Kota Bharu, Kelantan (106.8 mm).
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 27 Disember 2023. Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur dan utara Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.” kata NADMA.
Leave a comment