BM @ MY LNAHak Asasi @ My LNAOKU @ My LNASeni & Budaya @ My LNAUTAMA

Teater “Kenapa Kau Bayang Waktu” sorot isu kesihatan mental pasca-pandemik

837
Ahli produksi teater bergambar kenangan bersama tetamu di penghujung pementasan teater

Sebuah pementasan teater yang memperihalkan isu kesihatan mental di kalangan pelbagai segmen masyarakat telah dipentaskan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini. Pementasan ini adalah sebuah kerjasama sulung di antara Festival ArtXpression dan Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan OKU UM, dalam menjayakan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan peringkat UM.

“Kenapa Kau Bayang Waktu” yang diarahkan oleh Harith Amirrul, merupakan sebuah produksi Kolektif Laraseni, dan menampilkan tiga pelakon muda yang mula mendapat tempat di dalam dunia teater: Megat Adli, Hana Nadira, dan Khairunazwan Rodzy. Naskhah asli karya Harith Amirrul ini cuba menyorot kisah-kisah masyarakat sebelum, semasa, dan selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020 melalui tiga watak utamanya.

Pementasan yang minimalis ini merungkai kehidupan Ali (Megat Adli), Mardiah (Hana Nadira), dan Nasir (Khairunazwan Rodzy) ketika mereka bergelut dengan cabaran dan rintangan hidup semasa pandemik yang memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental masing-masing. Ali, seorang pelajar universiti yang cemerlang sebelum pandemik, dilihat tidak mampu menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran di atas talian. Mardiah, seorang isteri dan wanita berkerjaya pula dibuang kerja semasa pandemik kerana ketidakmampuan syarikat. Tekanan ke atas dirinya diperburukkan lagi dengan masalah rumahtangganya yang diambang kehancuran. Nasir pula adalah pengusaha gerai makan separuh usia yang baharu sahaja kehilangan isteri tercinta. Perniagaannya yang merosot semasa pandemik telah menambahkan lagi tekanan kepadanya yang masih belum mampu menerima realiti hidup tanpa isterinya di sisi.

Menurut Harith Amirrul, teater ini merupakan yang paling mencabar dalam kerjayanya sebagai penulis dan pengarah teater. “Saya telah menulis dan mengarah beberapa karya teater, tetapi karya ini adalah yang paling mencabar untuk dihasilkan. Karya ini sangat dekat di hati saya, dan saya berusaha sedaya mungkin bagi mencerminkan perjuangan yang dihadapi oleh ramai orang semasa pandemik COVID-19. Ada di antara baris skrip yang digunakan telah diolah berkali-kali demi menggambarkan perasaan mereka yang benar-benar terkesan dengan wabak ini sehingga ke hari ini,” katanya.

Salah satu momen yang cukup bermakna di dalam persembahan ini adalah apabila penonton dijemput untuk sama-sama mengangkat bendera putih yang disediakan di kerusi masing-masing sambil menyeru “Kita Jaga Kita”. Ini adalah simbolik kepada gerakan ini yang dimulakan bagi membantu mereka yang terkesan, sama ada secara fizikal atau mental, semasa pandemik tempoh hari.

“Saya tertarik dengan adegan di mana ketiga-tiga watak utama yang dilihat menghubungi Talian Kasih bagi mendapatkan bantuan setelah menyedari yang diri mereka menghampiri ‘bayang gelap’ dalam kehidupan masing-masing. Ini adalah kaedah secara langsung yang amat jelas dalam mendidik masyarakat untuk mendapatkan bantuan kaunseling, apabila menyedari tanda-tanda tekanan yang dihadapi. Ini sangat membantu dalam usaha kami menghentikan stigma terhadap kesihatan mental,” kata Lizawati Abd. Sane, Ketua Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan OKU UM yang turut hadir di pementasan ini.

Atiqah Jani, Pengasas dan Pengarah Festival ArtXpression, menambah, “Sebagai alumni UM, kami berkomitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai pengamal seni dan pendokong kesihatan mental. Kami memilih untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik komuniti kampus dan orang awam tentang kepentingan kesihatan mental melalui pendekatan yang kreatif sebegini kerana yakin dengan kelebihannya dalam mendekati hati dan perasaan individu.”

Hampir 200 orang penonton yang hadir di pementasan teater “Kenapa Kau Bayang Waktu” ini rata-rata menunjukkan reaksi yang positif dan memahami mesej yang ingin disampaikan. “Saya gembira dengan pementasan ini dan mengharapkan kerjasama strategik sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan, demi memberi kesedaran dan menghentikan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental,” kata Lizawati mengakhiri temubual.

Pementasan ini turut dijayakan oleh Fakulti Seni Kreatif dan Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya.

……

Maklumat lanjut mengenai pementasan teater ini boleh didapati melalui Atiqah Jani di atiqahjani@gmail.com

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...