AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah tanpa menyakiti

560
Rasa beragama bukan tiket untuk menghalalkan segala perbuatan yang keji dan akhlak yang buruk. Gambar oleh Hasan Almasi - Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Islam merupakan agama yang damai dan selamat. Ia bukan sahaja menyelamatkan umat daripada kesesatan di dunia malah menyelamatkan manusia di hari akhirat kelak. Perdamaian dan keselamatan yang ditawarkan Islam ini secara relatif singkatnya, ia telah berjaya menembusi seluruh pelusuk dunia.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Senario ini selari dengan hakikat bahawa Nabi SAW sendiri diutuskan sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Baginda merupakan contoh teladan yang terbaik bagi seorang Muslim. Akhlak baginda yang mulia dan ketegasan dalam kelembutan baginda menjadikan Islam diterima baik oleh masyarakat sekitar.

Dalam khazanah perbendaharaan yang diwariskan Baginda sebagai pusaka kepada umat Islam, terdapat banyak contoh bagaimana teladan Baginda dalam berinteraksi dengan umat Islam mahupun bukan Islam. Baginda telah tegaskan: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya (HR Malik).

Sebagai umat Islam, teladan ini sewajarnya menjadi panduan dalam kehidupan harian. Manusia akan selamat dengan petunjuk yang diwariskan daripada Rasulullah SAW. Formulanya, semakin manusia beriman dengan Allah dan Rasul berpandukan apa yang ditinggalkan Baginda, iman manusia semakin meningkat, maka natijahnya dunia akan lebih damai dan selamat buat penghuninya.

Ironinya, pada hari ini ada segelintir pihak yang mendakwa mereka beragama dengan baik, mengamalkan Sunnah baginda SAW, tetapi tingkah laku, akhlak dan lidah mereka jauh dari petunjuk baginda SAW. Jika disorot dalam teladan baginda, Nabi SAW tidak menyakiti sesama manusia, tidak menghinakan, bahkan Baginda melarang umatnya dari mencaci maki sembahan orang bukan Islam, apatah lagi memaki umat Islam dan manusia lain. Nabi SAW bersabda: Janganlah kalian saling dengki mendengki, saling tipu menipu, saling marah memarahi, saling memutuskan hubungan. Dan janganlah sebahagian dari kalian menjual apa yang telah dijual saudaranya. Jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya, mengabaikannya, mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa itu letaknya di sini –sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali. Cukuplah seseorang itu dalam kejelekan selama dia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim terhadap muslim lainnya haram dan terjaga darah, harta dan kehormatannya” (HR Muslim).

Lihat sahaja, berapa ramai orang hari ini merasakan mereka menghayati agama dan mengamalkan suruhan agama dengan baik, tetapi dalam masa yang sama mereka menyakiti, mencaci dan menghina orang lain. Hakikatnya, rasa beragama atau mengamalkan agama adalah satu petunjuk Allah, maka hati serta jiwa akan menjadi tenang dan damai. Ia bukanlah satu tiket untuk menjadi insan suci yang menghalalkan segala perbuatan yang keji dan akhlak yang buruk.

Senario ini dapat dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat Islam kini. Contoh yang sering berlaku dalam masyarakat Islam adalah meletakkan kenderaan berselerak dan mengganggu pengguna lain ketika ingin melaksanakan ibadat. Senario ini biasanya berlaku ketika ada pertambahan jemaah atau ketika solat Jumaat. Ramai orang yang mengambil mudah dengan meletakkan kenderaan hingga menghalang lalu lintas dan menyukarkan pergerakan orang ramai. Sedangkan beribadat adalah satu

tuntutan dan tidak mengganggu orang lain juga adalah satu tuntutan. Dengan itu jemaah perlu lebih berdisiplin dalam meletakkan kenderaan.

Di samping itu, termasuk perkara yang menyakiti dan dilarang adalah melangkah jemaah lain untuk ke saf hadapan. Situasi ini sering berlaku ketika solat jemaah terutamanya ketika solat Jumaat. Terdapat segelintir jemaah yang datang lewat ke masjid tetapi ingin berada di saf yang di hadapan untuk mengejar ganjaran pahala yang besar. Jadi mereka melangkah orang demi orang untuk sampai ke saf hadapan. Tujuan yang baik untuk ke saf hadapan tidak menghalalkan cara yang digunakan melainkan ada laluan yang sesuai. Dari Jabir bin Abdullah bahawasanya, ada seorang lelaki masuk ke masjid pada hari Jumaat ketika sedang Nabi SAW menyampaikan khutbah, lalu dia melangkahi atas tengkuk orang-orang (yang sedang duduk), lalu Nabi SAW bersabda: “Duduklah! Kerana sesungguhnya engkau telah menyakiti (mengganggu), dan telah datang lambat (HR Abu Daud).

Selain itu, termasuk dalam perkara menyakiti dan memandang rendah orang lain adalah pandangan sinikal kelompok pengamal Sunnah terhadap orang yang tidak mengamalkan perkara sunat atau perkara sunat dinisbahkan kepada apa yang dilakukan oleh Nabi SAW. Misalnya jika seseorang mengamalkan rutin memakan kurma, habbatus saudak atau madu sebagai makanan tambahan dengan sandaran sebagai mengikut Sunnah Nabi SAW, janganlah menghina dan merendahkan orang yang tidak mengamalkannya. Ini kerana konsep sunat di sini membawa maksud sesuatu itu diberi pahala jika melakukannya dan tidak berdosa jika meninggalkannya. Bahkan, ia tidak menjadi satu kewajipan bagi setiap orang Islam tetapi digalakkan.

Tindakan yang sama juga berlaku dalam isu memboikot. Ramai yang menghina dan memandang rendah dengan orang yang mencari rezki halal kerana dakwaan bersubahat dengan Israel. Jika hendak memboikot sekalipun, berpada-padalah dan jangan sampai menyakiti orang yang tidak bersalah. Kita marah dengan Israel atas kezaliman yang mereka lakukan kepada penduduk Palestin tetapi tanpa disedari kita turut terikut dengan cara Israel dalam menyakiti mereka yang seagama dengan kita. Sedangkan Nabi SAW memberi jaminan sifat seorang mukmin yang baik dalam sabda Baginda: Seorang Islam yang sejati adalah mereka yang selamat orang Islam lain dari tangan dan lidahnya (HR Muslim).

Begitu juga dalam konteks wacana hukum agama di Malaysia. Apabila kita mampu memahami agama dengan baik, ia bukan tiket untuk menghina agamawan, ulama atau mengecilkan pandangan mufti. Fahami konsep dan adab berbeza pandangan dalam kalangan ulama dan jangan mencampuri sesuatu yang di luar bidang kepakaran. Kita boleh untuk tidak bersetuju dengan pandangan sesiapa, tetapi dari segi autoriti hukum, berpeganglah dengan pandangan pihak yang punya autoriti dan jangan menggelar ulama dan mufti dengan panggilan kesat. Gelaran buruk ini sekaligus menghina institusi ulama sebagai pewaris dan penyambung risalah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Dalam hadis yang lain baginda menjelaskan tentang orang paling dicintai dan dibenci baginda SAW. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya di antara orang yang paling aku cintai dan paling dekat duduknya denganku pada haria kiamat adalah orang yang paling baik budi pekerti antara kalian. Dan sesungguhnya orang yang aku paling benci di antara kalian dan jauh tempat duduknya dariku adalah orang banyak bicara yang tidak bermanfaat, sering merendahkan orang lain dan yang sombong tidak mahu kalah saat berbicara (HR al-Tirmizi).

Tegasnya, dalam mengamalkan ajaran agama untuk menjadi orang yang beragama, cabarannya sangat besar. Syaitan akan gigih berusaha untuk menggagalkan suatu perkara yang baik daripada dilaksanakan. Pelbagai helah akan digunakan untuk menghalangnya. Sekalipun telah berjaya dilaksanakan, syaitan akan berusaha untuk menggagalkan kejayaan tersebut dengan menanam sikap takabbur, sum’ah dan riyak serta akhlak buruk. Jadi syaitan akan menghiasi tingkah laku dan

perkataan manusia dengan keelokan dan menjustifikasi matlamat yang baik walaupun ia dilihat tidak beradab, kurang ajar dan mementingkan diri. Justeru, sentiasalah tuntut ilmu agama agar kita tidak mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Sehubungan dengan itu, dalam beragama atau mengamalkan agama dengan baik, seorang Muslim tidak boleh menyakiti orang lain, tidak boleh mencaci, memaki hamun, menghina dan merendahkan orang lain. Sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Apa yang paling ditakuti adalah, kita rasa semakin kuat beragama tetapi hakikatnya kita ditipudaya dengan rasa pseudo-takwa, malahan semakin jauh dari petunjuk Allah SWT dan pedoman Rasulullah SAW.

……

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...