KUALA LUMPUR, 9 November 2023 – Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa terdapat dua komponen khusus Program Penyeragaman Harga yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dua komponen tersebut adalah :
i) Komponen pertama disebutkan sebagai Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan. Jika di dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan disebutkan sebagai butiran 040600. Butiran ini merujuk kepada perbelanjaan yang diperuntukkan oleh Kerajaan untuk menampung kos pengangkutan barangan antara pelabuhan ke pelabuhan (port-to-port). Untuk tahun 2024, peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM40 juta.
ii) Satu lagi komponen merujuk kepada Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming – butiran 040500. Untuk tahun 2024, sejumlah RM225 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan.
“Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming telah dilaksanakan bermula tahun 2009. Objektif program ini adalah menjadi sebahagian daripada langkah intervensi untuk menangani isu perbezaan besar harga barang-barang asas dengan kawalan harga di kawasan-kawasan pedalaman berbanding kawasan-kawasan lain.
Program ini dilaksanakan bagi menanggung kos pengangkutan membawa tujuh (7) barangan bersubsidi/kawalan iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, LPG, Petrol RON95, dan Diesel dari pembekal ke kawasan-kawasan pedalaman di enam (6) negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang supaya penduduk kawasan pedalaman boleh membeli tujuh barangan tersebut dengan harga kawalan yang disebutkan tadi dengan harga yang sama seperti harga di bandar atau pekan terdekat.” kata Armizan ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Tenom ketika sesi Pertanyaan Menteri.
Secara keseluruhannya, program tersebut telah berjaya mengawal harga bagi tujuh barangan tersebut di kawasan terlibat. Sebagai contoh, harga bagi LPG (tong 14kg) di Zon Pensiangan adalah RM65.00 setong sebelum pelaksanaan program ini, berbanding harga RM26.60 setong yang dijual selepas pelaksanaan program ini.
“Contoh yang lebih dekat dengan Parlimen Tenom – untuk Zon Tomani dan Zon Melalap misalnya, harga LPG tanpa inisiatif penyeragaman harga adalah antara RM38 hingga RM40 setong.
Untuk Sabah sahaja, program ini melibatkan 69 zon; dengan rangkuman keseluruhan 216 kawasan dan memberi kesan dan impak langsung kepada lebih 525 ribu populasi rakyat.” kata Armizan.
Leave a comment