KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2023 – Warga kota dan rakyat Malaysia dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023 di Laman Beringin, Istana Budaya pada 4 dan 5 November 2023 bermula dari jam 10:00 pagi hingga 11:00 malam.
Buat julung kalinya festival ini merupakan acara Laman Santai terbesar buat tahun 2023 yang mana pelbagai aktiviti dan program disediakan seperti pameran, jualan, demonstrasi, food trucks dan persembahan utama oleh artis-artis tempatan.
Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya menyatakan “Istana Budaya sentiasa bersifat terbuka dan komited dalam menyatupadukan masyarakat hingga ke akar umbi dan tidak mengira bangsa terutama sekali dalam memperkasakan seni warisan dan budaya agar dapat dipelihara khususnya dalam festival Laman Santai Malaysia Madani 2023 ini.”
Festival ini berkonsepkan santai dan terbuka kepada semua sambil dihidangkan dengan pelbagai acara seni warisan dan budaya antaranya seperti Makanan Warisan, Bengkel Muzik Borneo, Demonstrasi Silat, Solekan, Orang Asli, Jom Belajar Seni Budaya, Persembahan Barongan, Kuda Kepang, Peragaan Busana Tradisional, Baju Kebaya dan Karaoke Santai.
Antara artis-artis jemputan yang bakal menggegarkan persembahan utama malam Laman Santai 2023 ini adalah seperti Dato’ Hattan, Suki Low, Khai Bahar, Roy Kapilla, Rahmad Mega, Rahimah Rahim, Haziq dan ramai lagi.
Dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui seni budaya, Istana Budaya turut menjemput sekumpulan anak seni dari Borneo seperti Tuku’ Kame’, Alun Menoa (Wanita Sape) dan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES) dalam mengetengahkan alunan muzik dan persembahan dari Bumi Kenyalang, Sarawak.
Istana Budaya turut berbesar hati dalam bekerjasama dengan radio SINAR sebagai radio rasmi rasmi festival ini dengan menampilkan selebriti-selebriti dari SINAR.fm seperti Falyq dan Putra sebagai pengacara aktiviti siang dan Dina Nadzir sebagai pengacara persembahan utama pada malam festival.
Pengunjung juga bakal menikmati pelbagai promosi dan peluang yang disediakan dari pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan yang turut serta menjayakan festival ini dan antaranya adalah seperti Jabatan Warisan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Masuk adalah percuma dan manfaatkan hujung minggu ini bersama keluarga dan rakan taulan dalam memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023. Untuk maklumat terperinci awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya.
Leave a comment