AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Perjuangan minda umat Islam dalam pembebasan Baitul Maqdis

411
Bebaskan minda dari pemahaman yang salah mengenai konflik Palestin-Israel dengan membaca. Gambar hiasan dari Pexels.

Oleh: Ainul Asyraf Lokman, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Israel telah digemparkan dengan serangan daripada gerakan pembebasan Palestin, Hamas melalui Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan sejak 7 Oktober yang lalu. Israel kemudian bertindak balas dengan mengebom semenanjung Gaza dalam skala yang amat besar. Peperangan ini merupakan peperangan yang terbesar semenjak kali terakhir peperangan Arab-Israel. Operasi Taufan al-Aqsa ini dilancarkan bertitik tolak dari pencerobohan dan penghinaan terhadap masjid al-Aqsa. Namun mengapa operasi ini tidak dinamakan Taufan Palestin ? Hal ini kerana isu yang menyatukan umat Islam ialah Baitul Maqdis itu sendiri yang signifikan terhadap umat Islam. Dari aspek sejarah, Baitul Maqdis dahulunya pernah dikuasai oleh orang Islam dan juga bukan Islam. Dalam konteks semasa, Baitul Maqdis telah jatuh dalam kawalan Israel. Sehingga kini, sudah lebih 100 tahun Baitul Maqdis dijajah namun umat Islam masih belum mampu untuk membebaskannya. Jadi, timbul satu persoalan mengapa Baitul Maqdis masih belum dibebaskan sedangkan pelbagai usaha telah dilakukan oleh dunia termasuklah Malaysia.

Antara faktornya adalah kerana bukan sahaja tanah Palestin yang dijajah, tetapi minda umat Islam turut dijajah. Dr. Khalid El-Awaisi, pakar dalam bidang Islamicjerusalem menggelarkannya sebagai “perhambaan intelektual”. Perhambaan ini berlaku apabila umat Islam tidak lagi berfikir tetapi membiarkan orang lain berfikir untuk kita dan kita hanya mengikut secara membuta tuli. Sekiranya hendak dibandingkan antara pembebasan minda dan pembebasan tanah, pembebasan minda adalah lebih sukar. Antara faktor kepayahan tersebut adalah kerana umat Islam tidak sedar bahawa minda mereka sedang dijajah, tidak seperti perang fizikal di mana kita sedar berlakunya proses penjajahan. Selain itu, minda kita tidak mengenali siapa musuhnya yang sebenar, berbeza dengan peperangan fizikal yang jelas kita nampak musuh kita yang sedang kita lawan.

Antara contoh yang menjelaskan bagaimana penjajahan minda ini berlaku adalah dengan melihat bagaimana British berjaya mempengaruhi Syarif Hussein untuk mengetuai pemberontakan terhadap Khalifah Uthmaniyah. Sehingga ke satu tahap British sendiri menggunakan hadis sebagai hujah dengan menyatakan bahawa bahawa Khalifah itu adalah dari kalangan kaum Quraisy (Hadis kepimpinan Quraisy). British berhujah bahawa Syarif Hussein adalah dalam kalangan Ahlul Bait dan ini menjadikan mereka lebih baik dan layak untuk menjadi khalifah umat Islam. British turut berjanji akan melantik Syarif Mekah sebagai Khalifah bagi Umat Islam di Palestin. Disini dapat kita lihat bahawa British berjaya menghasut minda Syarif Mekah apabila beliau mengetuai pemberontakan Arab menentang Uthmaniyah.

Penjajahan minda ini dapat diatasi dengan membaca. Sesuai dengan saranan pertama dalam Islam berdasarkan Surah al-‘Alaq yang memerintahkan kita untuk membaca, umat Islam sepatutnya melazimi dan membudayakan tabiat membaca. Bahan-bahan bacaan yang berkisar tentang Baitul Maqdis sewajarnya ditelaah dan berada di samping kita setiap waktu khususnya sumber Islam yang paling utama iaitu al-Quran dan Hadith. Surah Al’-Isra adalah surah terbaik yang perlu diamalkan seorang Muslim kerana di dalamnya terkandung pelbagai hikmah dan maklumat tentang Baitul Maqdis. Surah ini juga menjadi peta jalan kepada pembebasan Baitul Maqdis yang diimpikan serta antara surah yang dianjurkan Rasulullah untuk dibaca sebelum tidur. Sesungguhnya Allah memuliakan bagi sesiapa yang membaca. Melalui pembacaan, kita akan memperoleh ilmu (‘Ilm) dan seterusnya memperoleh pengetahuan (Ma’rifah). Setelah membaca, proses mengkaji pula berjalan lalu menghasilkan suatu ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat (al-‘ilm al-nafi’) ini bersifat relevan dengan keadaan dan situasi semasa. Dalam konteks kini, ilmu dan pengetahuan yang perlu ditumpukan oleh setiap orang Islam adalah ilmu dan pengetahuan bagaimana untuk membebaskan Baitul Maqdis. Untuk berbuat demikian, kita memerlukan suatu pelan yang strategik dan pelan strategik ini hanya dapat dicapai melalui pemikiran yang strategik menggunakan ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat.

Kesimpulannya, perjuangan pembebasan Baitul Maqdis mesti bermula dengan pemikiran kita, memberi keutamaan kepada ilmu dan pengetahuan. Umat Islam tidak akan membebaskan Baitul Maqdis selagi mana minda mereka masih dijajah. Hal ini kerana pembebasan daripada penjajahan minda adalah langkah yang pertama sebelum pembebasan penjajahan tanah. Umat Islam memerlukan naratif mereka sendiri, berakar dalam sumber-sumber Islam, dan mesti terlibat dalam pemikiran strategik yang disokong oleh ilmu yang bermanfaat untuk membuka jalan pembebasan Baitul Maqdis. Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha mengerah segala keringat untuk mengambil langkah pertama dalam membebaskan Baitul Maqdis dengan membebaskan minda kita.

Sesuai dengan saranan Prof. Dr. Abd Fattah El-Awaisi bahawa sesiapa yang belum mengambil tindakan yang serius dan berfaedah untuk Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa untuk mempertahankan, melindungi, dan mengetengahkan isu tanah suci kita (Baitul Maqdis) hendaklah memeriksa semula imannya.

……

Ainul Asyraf Lokman adalah Felo Skim Latihan Akademik, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor adalah Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...