BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNASeni & Budaya @ My LNAUTAMA

Melestari seni dan estetika Hamdolok: Dari Mekah ke Batu Pahat

511
Poster pementasan Hamdolok di Universiti Malaya

Mendengar namanya mungkin agak janggal untuk ramai di kalangan kita. Namun jika kita sudah menonton persembahannya, pasti akan melihat persamaan yang ada dengan seni teater rakyat serantau yang lain, seperti boria, hadrah, dan mendu.

Dikatakan bermula sekitar 1930-an di Batu Pahat, Johor; hamdolok menggabungkan beberapa elemen unik, termasuklah nyanyian (qasidah dan nasyid), tarian (zapin Arab dan Melayu), muzik (gambus) dan lakonan (sketsa humor). Nilai estetika persembahannya juga menggabungkan kesenian Timur Tengah dan masyarakat Melayu Johor.

Dr. Rosdeen Suboh

Menurut Dr. Rosdeen Suboh, nama hamdolok adalah dari gabungan perkataan Arab ‘hamd’ iaitu pujian, manakala ‘dolok’ membawa tiga makna yang berbeza. Pertama, ianya dikatakan berasal dari perkataan jawa ‘dhelok’ yang bermaksud melihat atau menonton; kedua perkataan melayu ‘olok-olok’ atau main-main; dan ketiga perkataan Arab iaitu Allah. “Maka teater rakyat hamdolok ini boleh dikatakan sebagai sebuah bentuk seni persembahan budaya komuniti Melayu dengan teras Islamik, iaitu pegangan tauhid kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruhNya,” jelasnya lagi.

Hamdolok dikatakan telah diasaskan oleh Pak Rahmat Wayang di Batu Pahat, Johor, setelah diolah dari bentuk persembahan kaum Arab Badwi di Mekah, yang diceritakan kepadanya oleh Haji Osman Jahit. Dikatakan juga adat dan pementasan yang dimaksudkan adalah sempena meraikan hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal.

Sama seperti pementasan teater rakyat serantau yang lain, hamdolok juga mempunyai beberapa watak utama yang tertentu. Untuk hamdolok, ada tiga watak utama, iaitu Pak Syed (watak lelaki berumur berbangsa Arab), Tok Penghulu (watak lelucon), dan Siti (watak wanita yang dilakonkan pelakon lelaki).

Bagi meneruskan kesinambungan usahanya melestari seni teater rakyat serantau yang bermula sejak 2014, Dr. Rosdeen akan menerbit dan mengarah sebuah pementasan hamdolok buat julung kalinya. Pementasan yang akan diadakan pada 11 Oktober 2023 ini di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM) turut menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

“Pementasan ini secara tersuratnya tentunya bertujuan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai seni teater rakyat yang hampir pupus ini. Namun tujuan yang lebih besar adalah bagi memperkasakan kegiatan seni, budaya, dan warisan kepada masyarakat melalui kaedah teori dan praktikal. Di dalam pementasan ini nanti, para penonton juga menjadi sebahagian daripada produksi persembahan itu sendiri,” kata Dr. Rosdeen.

Menariknya, para penonton akan bersolat Maghrib berjemaah dan menikmati makan malam berdulang di atas pentas, sebelum pementasan bermula. “Setelah pementasan berakhir akan diadakan sebuah diskusi ringkas bersama tenaga produksi utama, dan penonton akan pulang bersama sebungkus nasi berkat, sebagaimana tradisi Melayu Johor,” kata Dr. Rosdeen lagi.

Maklumat lanjut mengenai pementasan ini boleh didapati melalui Rosdeen Suboh (+60 19-277 7657) atau Intan Zainal (+60 12-676 8391).

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...