KUCHING, 17 September 2023 – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof pada hari ini telah merasmikan Program Outreach Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional serta Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2023 bertempat di Dewan HIKMAH, Kuching, Sarawak.
Turut hadir adalah Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan bin Mohd Ali.
Karnival Sara Hidup merupakan program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi fokus kepada sumbangan bantuan kewangan tanpa tunai kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional serta pendedahan awal terhadap peluang pendidikan ke peringkat tinggi melalui pameran pendidikan dan kerjaya yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Kerajaan dan Swasta seperti berikut:
I. Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT);
II. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN);
III. Tabung Baitumal Sarawak;
IV. Yayasan Sarawak;
V. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Sarawak;
VI. Majlis Amanah Rakyat (MARA);
VII. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO);
VIII. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC);
IX. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); dan
X. Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung, KPDN
“Inisiatif yang dijalankan ini lahir daripada hasrat untuk memastikan dua (2) kategori pelajar iaitu penuntut Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional daripada keluarga kurang berkemampuan juga turut menerima bantuan langsung berbentuk sara hidup daripada pihak Kerajaan sebagaimana golongan sasar sedia ada.
Antara pengisian lain melalui Karnival Sara Hidup ini termasuklah pelaksanaan Program Jualan Rahmah Bergerak dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Kewangan melalui Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai. Pemberian sumbangan bantuan kewangan tanpa tunai bernilai RM50 setiap bulan bagi tempoh tiga (3) bulan ini akan memanfaatkan seramai 400 orang pelajar yang terdiri daripada 300 orang pelajar Tingkatan Enam dan 100 orang pelajar Diploma Kolej Vokasional yang terdiri daripada kumpulan isi rumah B40 di sekitar Kuching.” kata KPDN.
Sejak bulan Februari tahun ini sehingga 17 September, seramai 4,829 pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional telah menerima sumbangan bantuan tanpa tunai tersebut dan telah disalurkan melalui aplikasi e-wallet penerima. Pemberian sumbangan berbentuk tanpa tunai (cashless) tersebut adalah bertujuan untuk menyokong dasar pendigitalan dalam negara di samping menggalakkan penggunaan teknologi e-wallet bagi urusan jual beli melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
“Selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, program yang diadakan pada hari ini adalah sejajar dengan anjakan baharu yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri melalui Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) termasuk tumpuan khusus untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara.” kata KPDN.
Antara pengisian lain program sehari tersebut juga melibatkan taklimat advokasi pendidikan dan kerjaya dengan kerjasama strategik Agensi Kerajaan dan Swasta antaranya oleh JPT, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), PTPTN, SPA Negeri Sarawak, PERKESO, JPA dan Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung, KPDN.
Leave a comment