Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaaffar berpendapat bahawa nilai pendidikan di Malaysia perlu ditambahbaik dengan menyasarkan kepada keperluan industri negara menerusi kajian akademik dan pencarian ilmu dan pengetahuan yang lebih komprehensif dan meliputi ilmu-ilmu dan nilai pendidikan tokoh sarjana Islam agar seimbang dengan nilai pendidikan sedia ada yang dicerap daripada sistem pendidikan Barat dan Eropah.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Wan Junaidi berkata sistem pendidikan di Malaysia bermula zaman kedatangan penjajah banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai dan ideologi Barat dan Eropah yang juga telah dianggap sebagai yang terbaik sementara ilmu dan nilai pendidikan ilmu Islam yang dibawa sebelum zaman penjajahan kolonial telah semakin pudar.
“Saya ingin menyarankan agar ilmu pendidikan daripada tokoh sarjana Islam daripada abad yang lebih awal seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina turut diterapkan bersama ilmu pendidikan Islam yang sedia ada seperti bimbingan Fardhu Ain dan Feqah.
Pendedahan kepada tokoh sarjana ilmu pendidikan Islam ini adalah juga bersekali dengan nilai-nilai Islam yang telah membawa pemerintahan Islam kepada zaman kegemilangan daripada segi ekonomi, pendidikan, teknologi dan kemakmuran rakyat secara amnya.” ujarnya.
Tambahnya, pembaharuan di dalam sistem pendidikan Malaysia ini perlu dipertimbangkan agar sistem demokrasi dan keamanan negara ini mencapai tahap kegemilangan tamadun Islam pada abad yang lalu dan pembaharuan di tahap persekolahan ini akan menetapkan haluan kepada anak-anak sekolah yang bakal menerajui negara ini pada masa akan
datang.
Leave a comment