AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Ibadat korban instrumen keterjaminan makanan umat Islam

465
Berpada-pada dalam melaksanakan ibadah korban. Gambar hiasan oleh Bailey Mahon dari Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Pandemik COVID-19 telah meninggalkan pelbagai pengalaman dan pengajaran. Di antaranya adalah isu berkaitan dengan keterjaminan makanan. Banyak pihak yang terputus bekalan makanan akibat perintah larangan pergerakan. Pada asasnya, krisis keterjaminan makanan ini melibatkan masalah peringkat global sama ada sebelum atau pasca pandemik. Tetapi apabila situasi pandemik berlaku, lebih ramai pihak yang mengalami krisis makanan hingga terpaksa mengangkat bendera putih.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah memberikan amaran awal bagi tempoh Jun-November 2023. Tindakan kemanusiaan segera perlu diambil bagi 18 kawasan panas krisis kelaparan di 22 buah negara. Di kawasan ini, sebahagian daripada penduduk berkemungkinan akan menghadapi kemerosotan ketara tahap keterjaminan makanan akut yang mencetuskan risiko terhadap nyawa.

Malahan menurut Bank Dunia, kenaikan inflasi harga makanan domestik kekal tinggi di seluruh dunia. Ia didorong oleh risiko geopolitik, seperti pencerobohan Rusia yang berterusan ke atas Ukraine telah menimbulkan risiko yang tinggi terhadap pasaran pertanian. Ia boleh mendorong kenaikan harga bahan makanan. Selain itu, keadaan cuaca menimbulkan risiko jangka pendek dan perubahan iklim turut memberi risiko jangka panjang terhadap hasil pertanian dan menyebabkan
krisis makanan semakin meruncing. Bagi menghadapi isu keterjaminan makanan atau ketidakcukupan makanan, tindakan yang sewajarnya perlu diambil oleh semua pihak, sama ada pihak kerajaan, swasta, pengusaha dan pengguna. Ini kerana setiap pihak akan terlibat dengan krisis makanan yang akan berlaku.

Salah satu intrumen yang penting dalam Islam adalah perlaksanaan ibadah korban. Pada dasarnya, ia merupakan ibadah yang dianjurkan dan menjadi Sunat Muakkad bagi mereka yang berkemampuan. Dalam amalan ibadah korban di negara kita, biasanya hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik dilihat seolah-olah ‘pesta’ untuk menikmati daging segar. Malah kadangkala ia turut dinikmati secara berlebihan dalam tempoh empat hari tersebut. Ramai peserta korban yang berlumba-lumba untuk menjamu daging korban dalam tempoh empat hari tersebut. Sedangkan kita masih mempunyai baki 361 hari untuk diisi perutnya.

Jika ditelusuri dalam teladan yang ditunjukkan oeh Nabi Muhammad SAW, beliau telah melarang penyimpanan daging korban lebih dari tiga hari. Sabda Nabi SAW: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari. (HR Muslim). Arahan baginda ini adalah disebabkan berlaku krisis makanan pada masa itu. Dengan itu, Nabi mengarahkan para Sahabat untuk mengagihkan daging korban kepada pihak yang mengalami krisis makanan dalam tempoh tiga hari untuk kegunaan segera bagi masyarakat yang kekurangan makanan.

Hadis tersebut kemudiannya dimansuhkan dan Rasulullah SAW membenarkan Sahabat menyimpan daging lebih dari tiga hari. Dalam riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah RA: Adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi tiga hari dan jawab ‘Aisyah RA: “Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian
kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya.” (HR al-Bukhari) Berdasarkan hadis pertama, Nabi melarang untuk menyimpan daging korban disebabkan adanya musibah kelaparan dan masyarakat perlu kepada makanan pada tahun tersebut. Daging korban perlu dihabiskan dalam tempoh tiga hari bagi keperluan keterjaminan makanan yang mendesak. Manakala dalam hadis kedua, Aisyah RA memaklumkan bahawa daging korban boleh disimpan melebihi tiga hari apabila tidak lagi berlaku krisis makanan. Malahan daging korban tidak dimakan secara berlebihan dalam tempoh empat hari Aidil Adha dan hari-hari Tasyrik. Sebaliknya, disimpan bakinya untuk dimakan pada hari-hari yang lain.

Ini menunjukkan bagaimana teladan daripada Nabi SAW dalam menguruskan daging korban ketika musim kelaparan dan di luar musim kelaparan. Daging korban dinikmati mengikut keperluan tanpa berlebihan dalam tempoh empat hari sahaja. Sedangkan kita pernah lalui fasa kritikal dalam aspek keterjaminan makanan. Sudah tiba masanya, pengurusan daging korban diuruskan secara sistematik bagi menjamin isu keterjaminan makanan setempat. Jumlah haiwan yang dikorbankan adalah banyak dan boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan yang berkeperluan atau fakir miskin sepanjang tahun. Sudah tiba masanya, umat Islam di Malaysia untuk melaksanakan ibadah korban di kawasan masing-masing bagi memenuhi keperluan daging setempat.

Sekiranya kutipan zakat fitrah boleh diuruskan secara sistematik dari segi kutipan dan agihan, maka tidak mustahil jika pengurusan daging korban dapat diuruskan dengan lebih tersusun, dari segi pusat sembelihan atau pengumpulannya, pembungkusan atau pengetinan, penyimpanan serta pengagihan kepada mereka yang memerlukan khususnya bagi keperluan setempat. Kita sudah lama meraikan ibadah korban dan telah pernah melalui krisis makanan yang meruncing. Jika diteladani Sunnah Rasulullah SAW, Baginda menghabiskan daging korban bagi memenuhi keperluan semasa tetapi
Baginda menyimpan baki daging untuk dinikmati di hari-hari yang lain. Justeru usaha untuk mengumpul dan mengagihkan daging korban secara sistematik boleh dirintis bagi menangani isu keterjaminan makanan.

Alangkah ruginya jika pesta daging segar hanya dinikmati selama empat hari semata-mata, sedangkan pada masa yang lain terdapat mereka yang kelaparan.

……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my  

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...