BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAPendapat @ My LNA

Upah dan gaji: Kepuasan bekerja lebih utama

359

Oleh: Dr. Elya Nabila Abdul Bahri

Walaupun kajian semula kadar dan struktur upah sedang hangat diperkatakan ketika ini, namun dari sudut yang lain terdapat segolongan pekerja yang memilih untuk mempunyai kehidupan yang lebih sejahtera dan keseimbangan antara kerja-kehidupan yang lebih sihat berbanding upah yang lebih tinggi. Ada pekerja yang sanggup meninggalkan organisasi kerana tuntutan kerja yang terlalu sibuk walaupun upah yang diterima adalah tinggi.

Kebiasaannya, semakin tinggi tingkat upah, semakin tinggi tuntutan kerja yang diperlukan oleh majikan. Tuntutan kerja yang banyak akan membuatkan seorang pekerja itu sibuk dan perlu melebihkan masanya untuk menyempurnakan kerja dan kurang peruntukan masa untuk bersosial atau bersama keluarga. Maka tidak hairan jika ada pekerja yang sanggup meninggalkan kerja yang menawarkan upah yang lebih tinggi, misalnya RM3,700 disusuli dengan tuntutan kerja yang padat tetapi berhijrah kepada pekerjaan sebagai juruwang dengan pendapatan sebanyak RM1,500 yang lebih rendah daripada sebelum ini seperti yang telah kita dengar dalam berita dua bulan yang lalu.

Dr. Elya Nabila Abdul Bahri, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Apabila pekerja merasa tertekan dengan kerja yang padat, mereka khuatir jika tidak dapat melakukan kerja tersebut dengan baik kerana tekanan kerja dan kehidupan yang tidak seimbang di samping majikan menaruh harapan yang tinggi dengan output kerja yang akan dihasilkan. Untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan baik, keadaan stamina fizikal, minda dan emosi seseorang pekerja perlu berada dalam keadaan yang baik dan tenang untuk mengelakkan kesilapan dalam melakukan kerja.

Menurut kajian daripada Randstad baru-baru ini, pekerja sanggup meninggalkan organisasi tempat bekerja sekiranya tiada pertumbuhan kerjaya yang baik, bayaran upah yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi, mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik dan majikan yang mempunyai corak kepimpinan yang lemah. Dapatan kajian oleh Randstad ini adalah selari dengan dapatan daripada beberapa kajian negara maju dan membangun yang lain. Antara punca lain ialah faktor pengurusan yang lemah, persekitaran kerja yang tidak kondusif, dan pengaruh rakan sekerja.

Tambahan pula, generasi milenial merupakan golongan paling ramai cenderung untuk menukar kerja (42 peratus), diikuti generasi Z (37 peratus) dan generasi X (29 peratus). Ini memberikan gambaran bahawa keadaan tempat kerja tidak seperti yang diharapkan oleh generasi milenial. Pendedahan dalam rintangan dunia nyata sebenar tidak sama dengan dunia maya di mana mereka lebih terdedah. Walau bagaimanapun, menukar tempat kerja menunjukkan mereka mudah dan masih mendapat tempat dalam pasaran kerja. Namun begitu, peralihan kerja yang cepat dan kerap akan menyebabkan seseorang pekerja tidak dapat menghayati kerja dengan lebih baik serta mengurangkan nilai senioriti pekerjaan dalam organisasi.

Jika kadar pusing ganti pekerja meningkat, pihak majikan perlu melatih semula pekerja baharu. Latihan yang diterapkan kepada pekerja baharu akhirnya tidak bertahan lama jika suasana kerja tidak menepati kehendak golongan pekerja. Hal ini akan meningkatkan kos latihan kerana pihak majikan sentiasa melatih pekerja baharu. Bagi mengurangkan beban kos akibat kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, pihak majikan perlu memilih pekerja yang sesuai termasuklah dengan melihat tren kesetiaan pekerja dalam organisasi terdahulu sebelum mengambil calon tersebut untuk bekerja dalam organisasi.

Manakala pekerja akan kekal dalam sesuatu organisasi sekiranya mereka merasakan diri begitu bernilai dalam organisasi dan dihargai, menurut teori ekonomi yang dikenali sebagai ‘pengekalan pekerja berasaskan sumber’ (RBV). Maka pihak majikan perlu mengatur strategi untuk mengekalkan pekerja yang bukan sahaja dengan peningkatan upah berbentuk monetari tetapi juga faedah lain yang berbentuk bukan monetari yang dirasakan penting bagi pekerja. Misalnya dengan menghargai pekerja, mengiktiraf usaha pekerja, memberikan motivasi kepada pekerja, dan juga menambahbaik kepimpinan organisasi syarikat. Majikan juga perlu menyediakan program atau kursus yang berbentuk pembangunan stamina fizikal, minda dan emosi ke arah peningkatan produktiviti secara sihat.

Apa yang pekerja perlukan adalah kehidupan yang lebih sejahtera dan keseimbangan antara kerja-kehidupan yang lebih baik di samping menikmati upah yang lebih tinggi. Namun upah yang tinggi tanpa tuntutan kerja yang banyak adalah sesuatu yang agak mustahil kerana pihak majikan juga ingin mendapat pulangan balik kepada organisasi daripada peningkatan kos buruh yang ditanggungnya. Tidak dinafikan bahawa gaji dan upah yang lebih tinggi dapat membantu ke arah kehidupan yang lebih baik kerana kesejahteraan dalam kesihatan, aktiviti sosial, dan kehidupan berkeluarga juga memerlukan kos.

Ada pekerja yang sanggup menyerap tekanan kerja dengan sukarela kerana ingin mendapat tingkat upah yang lebih tinggi. Begitu juga dengan tahap kerja yang dituntut oleh majikan setelah pekerja dibayar dengan upah yang tinggi selaras dengan teori kecekapan upah. Peningkatan jumlah kerja dan peningkatan upah secara berperingkat dilihat sebagai suatu latihan ketahanan fizikal, mental dan emosi untuk seseorang pekerja melangkah kepada tahap jawatan yang lebih tinggi selaras dengan kesukaran kerja tersebut. Maka bagi memastikan kehidupan dan keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih sejahtera di samping tingkat upah yang lebih tinggi, setiap pekerja perlu bijak mengatur dan menguruskan masa, tenaga dan fokus untuk mengimbangi keperluan monetari dan bukan monetari dalam kehidupan. Ini kerana kepuasan bekerja merupakan aspek sangat penting bagi memastikan seseorang pekerja dapat bertahan dan meningkatkan tambah nilai kendiri bagi melangkau ke tahap jawatan yang lebih baik dalam organisasi.

……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di elyanabila@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...