AMBM @ MY LNAPendidikan @ My LNAUTAMA

CEO@Faculty bukti kolaborasi industri-akademia yang berhasil

495
Kolaborasi industri akademia yang berjaya akan memberi manfaat kepada semua pihak. Gambar hiasan oleh John Schnobrich dari Unsplash

Oleh: Dr Syed Bahari Ramadzan Syed Adnan

Bidang industri dan akademik merupakan dua bidang yang berbeza. Akademik merupakan bidang yang berasaskan pengajaran dan pembelajaran yang kebiasaannya merujuk kepada pusat pengajian tinggi khususnya universiti. Manakala bidang industri merupakan bidang yang berasaskan perusahaan perniagaan yang menjurus kepada pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, kedua dua bidang ini mempunyai potensi kerjasama yang luas untuk memacu perkembangan inovasi melalui kolaborasi penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pengalaman untuk mengejar perkembangan teknologi yang semakin canggih.

Kerajaan telah lama melihat kepentingan perkara ini dengan wujudnya pelbagai program untuk menghubungkan pihak industri dan akademik. Salah satu program yang di anjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak tahun 2015 adalah CEO@Faculty program yang mana menyasarkan golongan pensyarah muda universiti yang berkelulusan PhD untuk disangkutkan di industri selama 6 bulan. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform pendedahan pengoperasian sesebuah industri kepada pensyarah universiti. Selain memperoleh pengalaman dan pengetahuan secara bimbingan peribadi daripada CEO, peserta juga berperanan secara inklusif dan komprehensif di dalam memacu jalinan kolaborasi industri dan universiti yang berimpak tinggi.

Dr Syed Bahari Ramadzan Syed Adnan

Penulis berpeluang untuk mengikuti program ini apabila telah disangkutkan di syarikat Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) bermula Disember 2022 sehingga Jun 2023. Pengalaman ini telah membuka minda dan pandangan penulis dari sudut industri setelah hampir 10 tahun menjadi seorang pensyarah di Universiti. Bimbingan dan tunjuk ajar industri, khususnya daripada Pengarah Urusan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan CIMA, En Sharuddin Omar Hashim dan Ketua Unit Strategi dan Transformasi CIMA, Puan Hannah Lyana Lee Abdullah amat membantu penulis dalam mendalami pengoperasian syarikat swasta dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran insaniah penulis untuk menjadi seorang pemimpin/CEO di Universiti kelak. Kemahiran insaniah seperti kepimpinan, penyelesaian masalah, membuat keputusan, bertoleransi, membina rangkaian, perundingan dan kerjasama berpasukan dapat dirasai daripada pengalaman ini dan amat berkesan berbanding dengan pembelajaran secara teori sahaja.

Sesebuah industri akan sentiasa mencari pembaharuan dan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi demi kelestarian perusahaan terutama industri yang mempunyai unit “Penyelidikan dan Pembangunan” (R&D). Namun industri kebiasaannya akan mempunyai masalah untuk akses jurnal – jurnal yang berimpak tinggi untuk dijadikan rujukan dan penilaian sebelum sesuatu pembaharuan ingin dilaksanakan. Pada peringkat inilah, pihak akademik dapat memberikan sumbangan memandangkan kemahiran menulis dan mencari rujukan ilmiah sudah sebati dalam diri seseorang pensyarah yang berkelulusan PhD. Kebiasaannya sesebuah universiti akan melanggan jurnal – jurnal yang berimpak tinggi ini kerana ianya merupakan keperluan kepada penyelidik universiti dan kolaborasi dengan akademik akan menjimatkan kos pihak industri kerana tidak perlu lagi melanggan jurnal-jurnal tersebut. Bagi pihak industri pula, kepakaran dan pengalaman daripada penyelidik universiti dapat digunakan untuk membangunkan sesuatu inovasi. Pihak industri juga dapat menjimatkan perbelanjaaan yang besar dengan tidak perlu lagi membeli peralatan penyelidikan apabila berkolaborasi dengan pihak universiti. Hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan bersama dimana ianya dapat menyumbang kepada KPI pihak universiti dengan penerbitan yang berimpak tinggi dan pihak industri pula dapat membangunkan produk yang berinovasi tinggi. Sepanjang di CIMA, penulis berjaya menjadi penghubung kolaborasi penyelidikan diantara CIMA dan Pusat Teknologi Pembuatan Inovatif, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya. Kepakaran penyelidik UM khususnya dalam penyelidikan bahan asas pembuatan simen yang dapat mengurangkan kesan rumah hijau seperti pengurangan pelepasan gas karbon dioksida ke udara adalah amat bertepatan dengan dedikasi syarikat kepada inisiatif persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diamalkan di seluruh dunia.

Program akademik di setiap universiti biasanya akan digubal oleh setiap fakulti yang mana akan dipantau oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Namun, sejauh mana teori dan ilmu yang diperolehi di Universiti dalam membantu mahasiswa apabila menyertai sesebuah industri. Berdasarkan temu bual penulis bersama seorang graduan Universiti Malaya yang baru sahaja menyertai syarikat ini, yang berkelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal dan kimia, ilmu yang diperolehi diperingkat universiti amat membantu dalam memahami skop kerja sebagai seorang jurutera di syarikat ini. Walaubagaimana pun, maklumat pengoperasian syarikat perlu dipelajari secara lebih mendalam untuk beliau lebih memahami keperluan dan peranan seorang jurutera disyarikat ini. Ini membuktikan program akademik yang digubal oleh universiti dapat membantu mempersiapkan diri seseorang mahasisawa apabila melangkah ke alam pekerjaan. Selain itu, kemahiran insaniah seperti sikap yang baik, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa inggeris, kebolehan menyelesaikan masalah, juga amat penting dalam memberikan nilai tambah kepada seseorang mahassiswa untuk berjaya mendapatkan tempat di sesebuah syarikat.

Kesimpulannya program ini patut diteruskan dengan menyasarkan lebih ramai penyelidik di universiti untuk disangkutkan di industri. Program ini dapat memantapkan kemahiran memimpin pada peringkat yang tinggi. Selain itu, program ini dapat mengenal pasti dan mengungkai jurang diantara akademik dan industri samada dalam aspek kolaborasi penyelidikan, keberkesanan program akademik dan juga penempatan graduan baru di industri.

……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di syed_bahari@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...