BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

PH-BN SEPAKAT FORMULA MENANG-MENANG UNTUK RAMPAS KEDAH

75

PADANG TERAP, 5 Jun – Formula ‘menang-menang’ bagi agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, dipersetujui antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah sebagai sandaran menawan Kedah daripada Perikatan Nasional (PN).
 
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, formula tersebut diyakini dapat menembusi beberapa kubu kuat PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai setelah kedua-dua gabungan mengadakan rundingan dengan mengenepikan emosi dan berunding dalam suasana harmoni.
 
“Keputusan itu akhirnya datang daripada pucuk pimpinan kedua-dua pihak, sebaiknya kita tengok agihan (kerusi) yang seakan hampir-hampir sama rata antara PH dan BN,” katanya dalam sidang media ketika hadir pada majlis kesyukuran meraikan Anugerah Balai Polis Luar Bandar Terbaik di Malaysia, di Balai Polis Kampung Tanjung, Pedu di sini hari ini.
 
Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
 
Tegas Mahdzir, kesepakatan dalam agihan kerusi itu diterima baik kedua-dua pihak tanpa adanya sebarang protes biarpun agihan yang dipersetujui hampir sama rata.
 
“Itu hasil rundingan setelah dibawa berunding. Apabila kita berunding, emosi perlu letak ke tepi, kalau berunding dengan emosi tak akan menjadi. Akhirnya balik macam itu saja dan esok runding lagi.
 
Syukur setakat ini semuanya lancar, Alhamdulillah. Rundingan dalam suasana yang baik dan positif, hampir nak selesailah,” ujarnya.
 
Mahdzir berkata demikian ketika mengulas pandangan penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyifatkan pembahagian kerusi berasaskan kepada formula 19-17 untuk PH dan BN di Kedah sebagai adil.
 
Sementara penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula menyarankan agar gabungan itu memilih kaedah sama rata atau 60-40 atau mengikut kekuatan masing-masing di sesebuah kawasan.
 
Mahdzir memaklumkan, antara kriteria pengagihan kerusi yang dijadikan panduan termasuk mengambil kira representasi sesebuah parti di sesuatu kawasan yang ditandingi.
 
“Kita juga lihat kepada rekod tempat tersebut sebelum ini,  selain rujuk kepada keputusan dalam PRU15 dan PRU14. Selain penilaian dari aspek representasi yang diwakili parti sama ada BN atau PH, sudah tentu kita nak tengok jugalah dari segi sambutan rakyat di tempat tersebut,” jelasnya.
 
Menurutnya lagi, asas kepada pembahagian kerusi juga tertakluk kepada persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan.
 
“Contohnya, kalau sudah menang 2018 saya ingat yang itu tak payah runding. Cuma perlu dirunding adalah representasi parti mana untuk kawasan tertentu, kalau boleh (bahagi) awak separuh kita separuh. Katakan ada dua kerusi, bahagilah seorang satu, lebih kurang macam itulah,” katanya lagi.
 
Mahdzir tegaskan, rundingan agihan kerusi juga dilakukan atas kesepakatan parti-parti gabungan PH-BN
 
“Kita di peringkat akhir dah, rundingan kerusi dibuat atas nama BN dan PH, bukan rundingan atas nama parti-parti. Hanya sekitar tiga empat kerusi sedang rundingan akhir dan kita harapkan keputusan yang dicapai kelak dalam situasi menang-menang antara BN dan PH,” jelasnya.
 
Bagaimanapun, kerusi terlibat belum dapat didedahkan dan ia merupakan kerusi bercampur, bukan hanya yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.
 
Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan, setiap gabungan akan menggunakan logo parti masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
 
“Tempat di mana calon BN bertanding, kita akan guna logo BN, tempat di mana calon PH bertanding, akan gunakan logo PH. Memandangkan agihan kerusi telah dibuat, jadi kita tak akan bertembung,” ujarnya.

Ditanya sama ada BN mahupun PH telah menetapkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar sekiranya berjaya merampas Kedah, Mahdzir tegaskan, perkara itu masih tertakluk kepada pendirian yang dicapai dalam Konvensyen Perpaduan Negeri sebelum ini.
 
“Dalam konvensyen tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut, eloklah kita bertanding dulu, hal itu bincang kemudian. Setakat ini, kita kekal macam itulah,” katanya lagi.
 

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

CHARM terima RM80,000 daripada KBS

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh...

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...