BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

AGIHAN KERUSI PH-BN PERLU BERLANDASKAN SEMANGAT PERPADUAN

130

ALOR SETAR, 4 Jun 2023 – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa namun sehingga kini pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi enam PRN belum dimuktamadkan.


 
Tiga negeri ditadbir Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi tumpuan Kerajaan Perpaduan untuk dikuasai manakala kekuatan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diperkukuhkan agar terus ditadbir PH.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kesemua negeri terlibat dijangka dibubarkan dalam tempoh kurang sebulan dari sekarang.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, semangat perpaduan yang diterapkan di peringkat Pusat harus diterjemahkan ke peringkat negeri sekiranya mahu merampas negeri-negeri diterajui Pas.
 
“Kriteria penting untuk kekalkan persefahaman antara PH-BN terutama dalam agihan kerusi adalah semangat perpaduan dan Madani dengan mengekalkan hubungan baik antara parti-parti komponen, jika mahu rampas Kedah serta dua lagi negeri bawah Perikatan Nasional (PN).
 
“Keserasian itu telah dibuktikan dalam Konvensyen Negeri dan pelancaran jentera parti di peringkat Parlimen yang telah diadakan,” katanya.

Menurutnya, gabungan PH-BN harus menyemai rasa hormat, berkompromi dan saling bekerjasama antara parti sebagai ‘ramuan’ utama bagi memastikan kemenangan seterusnya mengambil alih kerajaan Kedah.
 
“Bagi saya, kriteria pengagihan kerusi perlu berasaskan kepada siapa pemenang di DUN tersebut akan dikekalkan bertanding di situ, Sekiranya di kawasan tewas, siapa yang mendapat tempat kedua wajar bertanding, dan akhirnya siapa yang paling berpeluang menang harus diketengahkan sebagai calon di kawasan tersebut,” ujarnya.
 
Mohd Azizuddin berkata, tidak mustahil sekiranya pembahagian kerusi berasaskan kepada formula 19-17 untuk PH dan BN di Kedah.
 
“Formula itu dilihat sangat adil. BN semestinya akan meminta sekurang-kurangnya satu DUN untuk ditandingi di semua kawasan Parlimen.
 
“Ada kawasan Parlimen mempunyai tiga kerusi DUN seperti di Baling, Kuala Kedah, Jerai, Alor Setar dan Sungai Petani. Ini menjelaskan kematangan PH dan BN Kedah dalam membuat keputusan secara bersama yang jelas mencerminkan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” jelasnya.
 
Tambah Mohd Azizuddin lagi, untuk meraih kemenangan di negeri yang tapaknya agak kukuh dengan gelombang hijau, PH-BN harus menggerakkan jentera kempen secara bersama dengan menunjukkan keakraban untuk bersama mentadbir Kedah.
 
“Mereka harus kemukakan cadangan dasar melalui manifesto untuk menarik sokongan pengundi dalam meningkatkan sosioekonomi penduduk Kedah.
 
“Kerajaan Perpaduan yang akan dibina di Kedah mestilah mencerminkan kestabilan politik dan mempunyai hubungan baik dengan Persekutuan, selain memanfaatkan pengalaman yang ada untuk mentadbir Kedah dengan lebih baik,” ujarnya.
 
Tegasnya, imej dan tawaran-tawaran kepada rakyat Kedah juga penting untuk memenangi jiwa 2.4 juta pengundi di negeri ini.
 
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian turut senada dan menyifatkan PH-BN perlu mencari formula terbaik dalam agihan kerusi untuk kekalkan keharmonian sesama parti.
 
“Agihan kerusi hendaklah adil dan situasi menang-menang agar tidak ganggu gerak kerja. Ia bukan mudah namun tidak mustahil sekiranya ditunjangi semangat perkongsian dan kepunyaan bersama.
 
“Mengikut persetujuan sebelum ini berdasarkan status quo. Ia tidak lagi sesuai untuk situasi kini, agihan mestilah sama rata atau mengikut kekuatan setiap DUN. Bertanding bukan sekadar masuk gelanggang tetapi untuk menang walau sesiapa calon sekalipun.
 
“Perbincangan mungkin boleh dimulakan dengan kaedah sama rata, kemudian mengikut kekuatan masing-masing. Kalau 50:50 sukar dicapai, formula lain adalah 60:40 untuk BN atau PH,” katanya.
 
Sivamurugan berkata, kriteria penting lain termasuk memilih calon Menteri Besar berwibawa yang boleh menyaingi populariti Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
 
“Pastikan pemilihan calon diterima semua, saling kompromi demi kemenangan, gerakkan jentera bersepadu selain elakkan sabotaj dalaman serta tangani isu secara rasional dalam mengurus persepsi kalangan pengundi,” ujarnya.
 
Menurutnya lagi, semangat perpaduan harus dipupuk dengan mencari persamaan dan meraikan perbezaan tanpa perlu menjadi musuh dalam selimut atau sokong membawa rebah.
 
“Masing-masing perlu ada matlamat untuk rampas negeri ini kerana tumpuan terarah kepada Kedah berbanding negeri lain. Ia boleh dilakukan jika semua pihak memiliki tekad politik untuk menang.
 
“Semangat kesepaduan itu penting untuk menggambarkan PH-BN sudah bersedia untuk kuburkan persengketaan politik dan bergerak sebagai satu pasukan diketuai seorang ‘kapten’ yang kewibawaannya dikagumi dalam dan luar parti,” jelasnya.
 

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...

Biz @ My LNABM @ MY LNANiaga @ My LNA

Legacy Credit Muncul sebagai Pemegang Saham Besar dalam VCI Global

KUALA LUMPUR, 24 April 2024 – Legacy Credit Sdn Bhd Legacy Credit Sdn Bhd (“Legacy Credit”...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH desak Kerajaan laksana Reformasi Proses Pelantikan Pengerusi SPR & Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 segera

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...