PUTRAJAYA, 16 Mac 2023 – Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som akan bersara wajib pada19 Mac 2023 selepas menabur bakti selama 42 tahun menjaga keselamatan perairan negara.
Memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah ke-5 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bermula 19 Ogos 2019, Dato’ Mohd Zubil telah menerajui Agensi ini selama hampir 3 tahun 7 bulan selepas dilantik bagi mengambil alih tugas mantan Ketua Pengarah pada ketika itu iaitu Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili bin Abu Bakar yang telah bersara wajib.
Pada ucapan beliau, Dato’ Mohd Zubil menekankan agar seluruh warga agensi ini sentiasa kreatif dan berinovasi dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Jangan sesekali membuka ruang kepada orang luar untuk mempertikaikan kredibiliti dan kemampuan kita. Kita haruslah sentiasa memberikan yang terbaik meskipun pelbagai cabaran dan dugaan harus kita hadapi.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga imej dan nama baik Agensi agar kita terus dipandang tinggi dan disegani sama ada daripada pihak kawan mahupun lawan”.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Bersama Warga Maritim Malaysia serta Perbarisan Paluan Berundur yang diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya hari ini.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah Logistik merangkap pegawai yang menanggung tugas sebagai Ketua Pengarah, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim Hamid bin Hj Mohd Amin.
Dato’ Mohd Zubil dalam pada itu turut menasihati seluruh pegawai dan anggota supaya sentiasa berintegriti ketika melaksanakan tugas khususnya ketika berada di lapangan.
“Sekiranya isu ini tidak dibendung, terus terang saya menyatakan bahawa mereka ini adalah ‘musuh dalam selimut’, ‘gunting dalam lipatan’. Ini kerana keselamatan negara telah dijual beli demi kepentingan diri sendiri.”
Menjawab pertanyaan media yang hadir di majlis tersebut, Dato’ Zubil mengulas beliau berharap Maritim Malaysia akan menerima sekurang-kurangnya sebuah OPV pada Julai tahun ini sebagaimana yang telah dijanji dan dipersetujui oleh pihak kontraktor. Beliau juga berharap OPV kedua dan ketiga akan disiapkan dan diserahkan kepada pihak agensi dengan secepat mungkin pada tahun hadapan.
“Perolehan OPV ini adalah sangat penting kepada Maritim Malaysia kerana OPV mempunyai keupayaan yang sangat diperlukan untuk mengawasi dan memelihara kedaulatan serta keselamatan perairan negara khasnya di Laut China Selatan, isu seperti pencerobohan bot-bot nelayan asing akan dapat disekat dengan berkesan,” tegasnya lagi.
Bersempena program berkenaan, Dato’ Mohd Zubil serta isteri, Datin Nor Zaida binti Yazid telah menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh anggota Maritim Malaysia.
Dato’ Mohd Zubil kemudiannya mengadakan pemeriksaan kawalan KKU dan Platun Perbarisan di lokasi yang sama seterusnya menerima penghormatan pada upacara Street Lining.
- It’s green here too
- Woh Hup Celebrates 88 Years of Bringing Asian Flavours to the World
- OneConnect Releases Q3 2024 Results with Net Profit attributable to Parent Company Reaching RMB110 million
- Sheffield Green Opens Offshore Wind Training Centre in Taiwan Chiayi
- Eude Technology Establishes Strategic AI Research Partnership with Nanyang Technological University
Leave a comment