21 Februari 2023 – Perkembangan terkini mengenai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang merangkumi pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut Pulau Tioman telah dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu sesi taklimat di Pulau Tioman pada 19 Februari (Ahad).
Sesi taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan semalam, pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut ke Pulau Tioman di bawah inisiatif Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) seliaan MCMC menjadi pencetus kepada usaha penyediaan rangkaian gentian optik di seluruh kampung di Pulau Tioman.
Kata Fahmi lagi, projek berkenaan yang membangunkan rangkaian gentian optik dari Kuala Rompin ke Kampung Tekek sejauh 75.2km telah siap sepenuhnya pada bulan September 2018 dengan kos pemasangan bernilai RM37.1 juta.
“Dengan adanya rangkaian gentian optik dasar laut itu telah membolehkan semua kampung di Pulau Tioman menikmati kemudahan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi.
Selain itu, saya telah dimaklumkan bahawa projek gentian optik Kg. Mukut sejauh 8.5km yang menghubungkan rangkaian gentian optik dari Japamala ke Kg. Mukut melalui Kg. Nipah dan Kg. Sarang Burung dengan kos pelaburan sebanyak RM2.2 juta telah dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM). Projek terbabit yang bermula pada bulan September 2022 telah siap pada bulan Disember 2022 dan kini menjadi pelengkap kepada semua kampung di Pulau Tioman tersedia dengan rangkaian gentian optik. Dengan kesedaran serta permintaan yang semakin meningkat, kadar penggunaan gentian optik pada masa ini di tahap 61% penduduk dengan anggaran 466 premis di Pulau Tioman.
Dalam era globlisasi yang mana Internet menjadi salah satu daripada kemudahan asas yang utama, projek di Kg. Mukut adalah sangat penting kerana ianya menjadi pelengkap kepada usaha merangkaikan semua kampung di Pulau Tioman dengan rangkaian gentian optik yang bukan sahaja merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat malahan juga mampu merancakkan ekonomi digital komuniti dan industri pelancongan Pulau Tioman.” ujar Fahmi.
Tambah beliau, di bawah usaha yang sama, sebanyak sembilan (9) menara komunikasi perkhidmatan mudah alih turut dinaik taraf melalui perkongsian rangkaian yang mana perkhidmatan mudah alih daripada empat (4) penyedia rangkaian iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah tersedia di semua kampung kecuali di Kg. Sarang Burung yang akan siap pada bulan Mac 2023.
“Pelaksanaan ini telah menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau pertama yang mempunyai 100% liputan 4G untuk semua Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih utama pada akhir suku pertama tahun 2023.
Harapan saya dengan semua kemudahan infrastruktur yang tersedia ini, para penduduk digalakkan untuk mendapatkan pakej langganan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing bagi menikmati capaian Internet berkualiti dan berkelajuan tinggi.” ujar Fahmi.
- It’s green here too
- Woh Hup Celebrates 88 Years of Bringing Asian Flavours to the World
- OneConnect Releases Q3 2024 Results with Net Profit attributable to Parent Company Reaching RMB110 million
- Sheffield Green Opens Offshore Wind Training Centre in Taiwan Chiayi
- Eude Technology Establishes Strategic AI Research Partnership with Nanyang Technological University
Leave a comment