KUALA LUMPUR 19 Februari 2023 – Lorong Tuanku Abdul Rahman 7 bersebelahan Wisma Budi di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan dijadikan sebagai lokasi untuk menjual dan memperagakan bahan pameran kraf Melayu dan di sebelah belakang bangunan akan menyediakan gerai jualan makanan warisan pelbagai kaum.
Demikian antara cadangan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim semasa mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah, di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam.
Selain daripada pameran dan jualan juadah tradisional, pengunjung juga boleh menyaksikan pertunjukan nyanyian lagu-lagu asli, persembahan buskers, deklamasi sajak, puisi lama seperti pantun dan pameran lukisan yang menumpukan kepada sejarah dan budaya bangsa pada setiap hujung minggu.
“Usaha ini sesungguhnya mendapat sokongan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ia akan menyerlahkan semula Budi Bahasa Budaya Kita, warisan kita sendiri di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur,” kata Tan Sri Rais yang juga pengasas dan pengerusi Yayasan Budi.
Yayasan Budi akan bekerjasama dalam merealisasikan hasrat tersebut dengan mengumpul para penggiat seni budaya pada setiap hujung minggu bagi mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik.
Datuk Seri Mahadi juga turut memberikan sokongan terhadap usaha tersebut memandangkan pihak DBKL kini sedang melaksanakan projek perintis bandaraya neutral karbon dengan kerjasama bandaraya Tokyo.
Justeru untuk merealisasikan hasrat tersebut, beberapa lokasi jalan raya di tengah Kuala Lumpur akan ditutup pada setiap hujung minggu dan menggalakkan pengunjung untuk menggunakan kenderaan awam.
Dalam program lawatan tersebut Tan Sri Rais turut melawat beberapa gerai pameran dan pertunjukan tarian Ronggeng Melayu selain pertunjukan seni bela diri.
Beliau berharap, dengan wujudnya pusat seni budaya di tengah-tengah bandaraya ini, ia akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama para pelancong dalam dan luar negara bagi menikmati keindahan dunia Melayu.
Turut hadir pada program lawatan tersebut ialah Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Sr. Haji Kamarulzaman Mat Salleh, Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan, Norzaini Nordin, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan beberapa pegawai kanan DBKL.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment