PUTRAJAYA, 5 Februari 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa seramai 2,200 Pegawai Penguatkuasa telah digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis-premis seluruh negara termasuk premis yang menjual sayur-sayuran merangkumi pasar awam, kedai runcit, pasar raya-pasar raya serta premis-premis lain di bandar mahupun luar bandar.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan hari ini, pemeriksaan dan pemantauan yang dilaksanakan turut mengambil kira elemen-elemen penguatkuasaan yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Ops Pasar. Ops Pasar ini telah difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran dari sasaran sebelum ini ke atas barang keperluan perayaan.
Kata Azman, bagi pelaksanaan Ops Pasar, sebanyak 296 jenis barangan telah diperiksa bagi tujuan siasatan antipencatutan. Daripada jumlah barangan terbabit, sebanyak 60 notis telah dikeluarkan bagi tujuan analisis dan siasatan kenaikan harga.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati peningkatan harga sayuran ini antara lain disumbang oleh faktor kekurangan bekalan kesan daripada musim monsun. Peningkatan kos-kos input seperti baja, benih dan racun serta harga di negara pengeluar bagi barang yang diimport terus dari negara luar juga turut memberi impak kepada harga di pasaran tempatan. Selain itu, peningkatan harga tersebut sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh kadar pertukaran mata wang, kos perkapalan dan
sebagainya.
Kementerian ini melaksana serta menguatkuasa kawalan harga ke atas barangan asas tertentu yang menjadi keperluan pengguna. Harga barangan lain ditentukan oleh pasaran melalui faktor penawaran dan permintaan. Walau bagaimanapun, tindakan perundangan boleh diambil ke atas barangan lain di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya mana-mana pihak didapati cuba mengaut keuntungan secara berlebihan.” ujar Azman.
Tambahnya, KPDN juga sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi. KPDN juga tidak akan berkompromi dengan manamana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan. Mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan yang tegas.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment