PUTRAJAYA 3 Februari 2023 – Walaupun Kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini menekankan bahawa Kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 yang akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan semalam, Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa pada tahun 2022, hutang dan liabiliti Kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80% daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15% daripada hasil.
“Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi.
Maka, Belanjawan 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial. Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat. Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK terkawal.
Belanjawan 2023, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari 2023, akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka Kerajaan. Belanjawan ini juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan Kerajaan dan infrastruktur luar bandar.” kata kenyataan tersebut.
Jawatankuasa Dasar Fiskal bertujuan meneliti fiskal Kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana. Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Dato’ Nor Azmie Diron, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.
- Hong Kong’s First AI Company (Nasdaq: ATGL) Successfully Concludes Its One-Year-Anniversary Halloween Celebration
- Cambodian Delegation Visits Hong Kong to Bolster Investor Relationship for Preah Sihanouk Province
- Hong Kong: Connecting the Middle East along the New Silk Road
- DFA Awards 2024: Asia’s Creative Luminaries Shine
- Luxshare Precision Reports Steady Growth in Q3 2024 Results, Optimistic About Annual Performance
Leave a comment