PUTRAJAYA 29 Januari 2023 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kejadian penyakit African Swine Fever (ASF) melibatkan seekor babi hutan yang ditemui mati di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson pada 3 Januari 2023.
Menurut DVS dalam satu kenyataan semalam, pengesahan dibuat menerusi ujian Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ke atas sampel tulang yang diambil dari bangkai babi terbabit.
“DVS mengambil maklum bahawa terdapat kekeliruan yang tular baru-baru ini berkaitan penyakit ASF. Untuk makluman, penyakit ASF adalah penyakit bukan zoonotik dan ia tidak menjangkiti manusia. Sehubungan dengan itu, orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Port Dickson.
Surat pemakluman yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) bertarikh 10 Januari 2023 bertujuan untuk memaklumkan kepada orang awam dan pemain industri tentang kejadian penyakit ASF di Port Dickson. Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh JPVNS untuk membendung perebakan penyakit ASF di Negeri Sembilan.” kata DVS.
Justeru, DVS memohon jasa baik semua pihak agar tidak menularkan berita yang tidak tepat dan segera merujuk kepada DVS bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Katanya orang awam boleh merujuk kepada poster atau video yang telah dihebahkan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penyakit ini.
“Sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal. Tiada lagi laporan kematian pada babi hutan mahupun ternakan babi komersil berikutan kejadian kes ASF di Negeri Sembilan.” ujar DVS.
- Hollywood’s Style Icon Zendaya Makes Her Stunning Wax Debut at Madame Tussauds Singapore
- GangaGen Secures additional US$7.9 Million from CARB-X for Pre-clinical Development of Novel Klebicins Targeting Nosocomial Pneumonia caused by Multidrug-resistant Klebsiella pneumoniae
- Star-Studded Christmas Music Gala Lights Up the Stage
- Graphisoft Strengthens Presence in Southeast Asia Amid BIM Demand Surge
- Leading the Way: Singapore’s Exceptional Achievements at the ACES Awards 2024
Leave a comment