BM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Teknologi AI Mampu Tangani Cabaran Jaminan Makanan

316

Oleh: Muhammad Arshad bin Hassni

Negara kini menghadapi dua (2) cabaran semasa iaitu perubahan iklim dan jaminan makanan yang memerlukan campur tangan teknologi tinggi untuk menanganinya. Kedua-dua cabaran ini mempunyai hubung kait yang boleh mendatangkan kesan buruk yang besar jika tiada sebarang perancangan rapi jangka masa panjang dibuat.

Tambahan lagi, kebergantungan sumber makanan Malaysia yang tinggi dari luar negara yang melebihi nilai RM60 bilion pada tahun 2021 boleh mendatangkan risiko yang tinggi apabila berlaku krisis ekonomi atau kesihatan seperti pandemik COVID-19 yang lalu.

Cabaran semasa berkaitan perubahan iklim di Malaysia termasuk peningkatan suhu, pola hujan yang tidak menentu, dan peningkatan frekuensi dan intensiti bencana alam seperti banjir dan kekeringan menjejaskan sektor pertanian, seterusnya memberi kesan kepada jumlah hasil tanaman di pasaran. Hal ini boleh membawa kepada peningkatan harga makanan di pasaran yang akan membebankan kos sara hidup rakyat.

Satu jalan penyelesaian mampan perlu dirangka dan dilaksanakan dengan segera supaya hasil pertanian mampu memenuhi permintaan makanan dalam negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan makanan import.

Oleh yang demikian, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memiliki tanggungjawab untuk memimpin negara dalam mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran tersebut. Pendekatan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan sahaja dapat melindungi rakyat dari kesan buruk bencana, malah ia juga dapat memacu ekonomi negara serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Dalam merangka tindak balas awal untuk mengatasi cabaran semasa seperti perubahan iklim dan jaminan makanan, kemampuan daya jangka STI (STI foresight) yang berpandu pada data sangat penting. Ini adalah untuk memastikan negara dapat menyediakan pelan mitigasi dan adaptasi yang lebih cekap untuk menghadapi cabaran tersebut. Namun pada masa yang sama, MOSTI perlu meneroka pembangunan teknologi tinggi baharu yang boleh diaplikasikan dan dikomersilkan dalam sektor industri bagi mendepani cabaran tersebut.

Selari dengan kenyataan Menteri MOSTI, YB Tuan Chang Lih Kang semasa sidang media selepas Majlis Amanat 2023 baru-baru ini, fokus perlu diberikan kepada pembangunan teknologi Artificial Intelligence (AI) bagi mendepani cabaran semasa sejajar dengan Pelan Hala Tuju Negara Kecerdasan Buatan 2021-2025 (AI-RMAP).

“Teknologi Artificial Intelligence (AI) boleh membantu kita menyelesaikan masalah besar yang kita hadapi sekarang, terutamanya food security (jaminan makanan) dan juga perubahan iklim,” ujar YB Tuan Chang Lih Kang.

Teknologi AI dianggap sebagai teknologi masa hadapan yang akan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi dan mewujudkan bakat berkemahiran tinggi. Menurut MarketsandMarkets Research, dianggarkan nilai pasaran AI global mampu mencecah USD190 bilion menjelang tahun 2025. Dapatan ini seharusnya mendorong lebih banyak pemain industri untuk terlibat dalam pembangunan teknologi AI memandangkan ianya mampu untuk dikomersilkan di dalam dan luar negara. Kepesatan teknologi AI juga telah menuntut keperluan bakat-bakat baru untuk menceburkan diri dalam industri tesebut yang menawarkan gaji dan pendapatan yang sangat baik.

Selain itu, peningkatan keupayaan teknologi AI telah membolehkan teknologi tersebut diintegrasikan dalam pelbagai sektor industri termasuklah sektor pertanian. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China juga telah menggunakan teknologi AI secara meluas yang telah terbukti mampu meningkatkan hasil tanaman pada kadar penggunaan sumber yang optimum. Dengan kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan untuk penghasilan makanan yang lebih efisien dan mampan, dijangkakan lebih banyak negara akan mengaplikasikan teknologi AI dalam sektor pertanian mereka.

Penerapan teknologi AI dalam industri pertanian telah membawa kepada pengenalan kaedah-kaedah baru seperti precision agriculture yang mengaplikasikan machine learning dan Internet of Things (IoT) bagi tujuan pembajaan dan pengurusan tanaman. Kemajuan ini semestinya mampu meningkatkan hasil tanaman dan memastikan sumber dapat diuruskan dengan lebih efisien. Selain itu, teknologi-teknologi berasaskan AI seperti dron, sensors, dan sistem pengairan dapat dibangunkan untuk mengoptimumkan hasil tanaman.

Government AI Readiness Index 2020 oleh Oxford Insights meletakkan Malaysia di posisi nombor satu di Asia Tenggara dan nombor 28 di peringkat global. Dapatan ini menunjukkan potensi besar yang dimiliki oleh Negara dalam membangunkan teknologi AI dan seterusnya menjadi pemain utama di peringkat global. Sokongan kerajaan, kewujudan bakat dan kemahiran tempatan, sektor kajian dan pembangunan (R&D) dan penglibatan industry merupakan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pembangunan teknologi AI dalam negara.

Justeru, bagi memastikan perkembangan teknologi AI dalam Negara sudah semestinya memerlukan sokongan daripada syarikat-syarikat pemula (startups) dan pemain industri yang perlu mengadaptasi dengan budaya baharu yang berasaskan inovasi. Transformasi sektor pertanian berasaskan digital dan teknologi AI mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dalam negara dan seterusnya menangani cabaran jaminan makanan, di samping dapat menjana pulangan yang baik kepada syarikat dan perniagaan.

Penetapan hala tuju melalui AI-RMAP membuktikan komitmen MOSTI dalam menerokai teknologi AI bagi memacu pembangunan dalam pelbagai sektor termasuklah industri pertanian. MOSTI akan bekerjasama rapat dengan agensi dan pemain industri dalam usaha mewujudkan ekosistem inovasi AI yang kondusif bagi mempercepatkan adaptasi teknologi AI.

Melihat kepada potensi dan peluang pasaran, teknologi AI mampu menjadi salah satu pendorong kepada pembentukan Negara berteknologi tinggi menjelang 2030, seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Ia juga seiring dengan aspirasi YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri MOSTI yang mahu melihat Negara mengambil langkah proaktif melalui pengaplikasian teknologi AI dalam menangani isu dan cabaran semasa Negara.

Profil Penulis:

Muhammad Arshad bin Hassni merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang. Penulis merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Material dari University of British Columbia, Vancouver Canada. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...