Alam Sekitar @ MY LNAAMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNA

NRECC segera laksanakan titah YDPA

111
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi bin Nik Ahmad. Sumber Foto FB rasmi Nik Nazmi bin Nik Ahmad

PUTRAJAYA, 10 Januari 2023 – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi bin Nik Ahmad memaklumkan bahawa Kementerian yang diterajuinya telah bertindak segera melaksanakan titah Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong seperti yang disiarkan di laman sesawang Malaysiakini pada 7 Januari 2023 bertajuk “King Wants Review Of Cameron Highlands Slope Developments”.

Dalam satu kenyataan semalam, Nik Nazmi menjelaskan bahawa pajakan kawasan pertanian seluas 6.475 hektar berkenaan telah diberikan kepada pemaju pada 20 Ogos 2021.

Katanya, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang telah menerima satu surat permohonan ulasan penilaian tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) selepas berlakunya kejadian pertama banjir lumpur telah dilaporkan di Perumahan Pekan Kg. Raja yang melibatkan sebuah rumah pada 30 Ogos 2022. Ini diikuti oleh dua lagi kejadian tanah runtuh di kawasan yang sama pada 17 November dan 20 Disember 2022.

“Siasatan awal mendapati bahawa kejadian banjir lumpur disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut. Berdasarkan rekod JMG, kawasan tersebut diberikan penarafan bahaya tanah runtuh tahap sederhana – tinggi. Ini diburukkan lagi dengan kerja-kerja tanah yang tidak mengikut amalan terbaik dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur kepada kawasan tadahan di bawah di mana terdapat penempatan penduduk.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah menjalankan siasatan terhadap projek yang menyebabkan banjir lumpur di kawasan tersebut pada 20 Disember 2022. Siasatan tersebut mendapati bahawa pemaju projek tidak menjalankan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan tidak memohon kelulusan Laporan EIA, sedangkan ia perlu mendapat kelulusan Laporan EIA sebelum sebarang kerja dilaksanakan.

Sehubungan itu, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga kelulusan Laporan EIA diperoleh. Pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah remedi mengelakkan banjir lumpur. Kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.” kata Nik Nazmi.

Tambahnya, siasatan JAS terhadap projek-projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands mendapati terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 dan telah mendapat kelulusan.

“Projek-projek ini kini dalam pemantauan berkala JAS iaitu sepuluh (10) projek belum mula, satu (1) telah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan, serta lima (5) lagi dalam pelaksanaan kerja tanah.

JAS juga telah menerbitkan kaedah mengenal pasti remedi secara lebih berkesan melalui Penilaian Impak Dari Udara (Aerial Impact Assessment – AIA) dan Pelan Tindakan Pembaikpulihan Segera (Immediate Remedial Action Plan – IRAP).” kata Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Pengarah Penyelarasan dan Operasi JMG akan mengetuai pasukan Pemantau Cerun dibantu oleh JMG Negeri Pahang untuk memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko kepada berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut, termasuk kerja-kerja mitigasi dikawasan tersebut.

“Sebagai langkah tambahan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan mencadangkan penubuhan satu pasukan pemantauan khas yang terdiri daripada pelbagai agensi yang diketuai oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di lapangan.

Penubuhan pasukan khas ini juga dijangka dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan EIA mendapat kelulusan Laporan EIA daripada JAS terlebih dahulu sebelum diluluskan dan juga penilaian bahaya dan risiko tanah runtuh oleh JMG sebelum pelaksanaan oleh agensi-agensi berkenaan.” ujar Nik Nazmi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

CHARM terima RM80,000 daripada KBS

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh...

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...