6 JANUARI 2023 – Senario politik Melaka kembali hangat dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk blok pembangkang apabila terdapat usaha pihak tertentu yang melaga-lagakan hubungan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ini.
Perkara itu didedahkan kedua-dua pemimpin berkenaan menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial malam tadi. Menerusi klip video tersebut, Ab Rauf memberitahu bahawa isu yang dibangkitkan itu adalah fitnah yang ditimbulkan oleh beberapa individu berkepentingan.
Penjelasan mereka itu susulan terdapat spekulasi yang mendakwa Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu bakal digugurkan daripada jawatan Ketua Menteri untuk digantikan dengan Ab Rauf merangkap Adun Tanjung Bidara.
“Kami sedang memerhati karakter dan tindakan kumpulan berkenaan yang sengaja menghangatkan dinamika kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) negeri yang terbukti mendapat dua pertiga mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.
“Saya ingin menegaskan kepada mereka yang berkepentingan dalam isu ini, tolong hentikanlah. Sebenarnya kami kini sedang memerhatikan tingkah laku dan karakter mereka.
“Persahabatan kami adalah satu persahabatan yang amat baik. Sejak dulu lagi kami sudah berjanji walau apa yang berlaku sekali pun, tidak akan ada dusta antara kita dan sebenarnya ini adalah fitnah kerana perkara yang dibangkitkan amat memalukan, lebih-lebih lagi kerajaan negeri ini sudah menang dua pertiga kepercayaan rakyat”, ujarnya.
“Adalah malang apabila muncul beberapa tokoh yang berkepentingan menabur fitnah kepada saya dan juga melagakan hubungan kami berdua termasuk Datuk Kamarulzaman Jantan (Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Masjid Tanah), saya minta tolong hentikan kerana hanya ajal dan maut boleh pisahkan kami bertiga ini,” tambah beliau.
Isu pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali hangat diperkatakan susulan ada pihak mendakwa jawatan berkenaan bakal bertukar tangan awal bulan depan.
Malah, Sulaiman turut dikatakan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memberi laluan penggantinya mengangkat sumpah jawatan yang didakwa diadakan pada awal bulan ini.
Menerusi rakaman klip video berkenaan, Datuk Seri Sulaiman turut menegaskan fokus utamanya kini adalah untuk meneruskan usaha memajukan negeri, malah tidak sesekali akan melayan fitnah yang masih tidak berkesudahan itu.
Katanya, rakyat juga tidak perlu gusar atau bimbang terhadap isu yang ditimbulkan oleh musuh yang sengaja menggugat keamanan yang sedang dikecapi ketika ini.
“Kami memang berkawan sudah lama, jadi saya mohon perkara ini tidak usah digembar-gemburkan lagi dan kita fokus kepada tugas yang sudah diamanahkan. Kesannya nanti adalah kepada seluruh negeri terutamanya rakyat, maka hentikanlah perkara yang tidak mendatangkan keuntungan itu”, ujar beliau.
“Rakyat tak usah bimbang terhadap spekulasi tersebut. Saya mohon hentikan fitnah dan dakyah serta semua pandangan negatif itu,” jelas beliau.
- Spackman Media Group Artist Son Suk-Ku Ranks #1 In The 2023 MALE ACTORS TO WATCH Survey In Korea
- LOHAS EXPO x Natural, Organic, Green Life Expo 2023
- Metamorphosis By De Beers: Prelude
- RGE closes inaugural US$550 million Sustainability-Linked Derivative with MUFG
- The British Ambassador welcomes the launch of Malvern College Tokyo at British Embassy.
Leave a comment