Isu ketiadaan bekalan telur ayam dan kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran seluruh negara ketika ini turut diakui sendiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Malah beliau sendiri telah ‘turun padang’ meninjau senario itu di sebuah pasar raya besar di ibu negara. “InsyaAllah saya dan menteri berkaitan akan bekerjsama dalam menangani isu ini, apatah lagi ianya telah menjadi fokus utama Perdana Menteri demi membantu ekonomi rakyat”, ujar beliau selepas meninjau perkara tersebut di salah sebuah pasaraya terkemuka di Kuchai Lama Kuala Lumpur.
Isu telur ayam khususnya dan minyak masak paket mula ‘panas’ diperkatakan masyarakat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila banyak kedai runcit dan pasar raya yang melaporkan kehabisan bekalan secara tiba-tiba.
Anehnya, situasi kembali pulih dengan menyaksikan lambakan produk itu namun ramai mengadu stok dijual kemungkinan besar bekalan lama yang sengaja disorok pihak pemborong atau peniaga.
Bagaimanapun beliau turut mengakui bahawa stok berkenaan juga cepat habis di pasaran akibat sikap pembelian panik oleh para pengguna menjelang cuti persekolahan yang panjang akhir tahun ini dan perayaan Krismas.
Sebahagian besar masyarakat mengesyaki ada berlaku ‘permainan’ oleh pihak kartel kerana telur dijual adalah jenis lama sehingga mengakibatkan harga runcit semasa melonjak begitu mendadak.
Mengulas lanjut, Salahuddin mengakui ketiadaan stok itu mencetuskan keresahan kepada rakyat dan merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana banyak kegiatan bisnes yang memerlukan telur dan juga minyak masak.
“Saya sedar proses pengeluaran telur juga ambil masa enam bulan daripada seekor anak ayam sehingga bertelur berbanding tempoh ayam pedaging yang paling lama pun hanya 42 hari,” katanya.
Pada masa sama, beliau yakin kepakaran dalam negara yang melibatkan pelbagai agensi awam dan pemain industri tempatan berupaya mencipta inovasi bagi penyelesaian masalah berkenaan.
Justeru, beliau memberi jaminan akan meneliti beberapa solusi dicadangkan termasuk isu harga, tempoh kawalan, kaedah subsidi, pengeksportan dan kos produksi terutamanya input ternakan.
Malahan ujarnya, hampir 300 ladang ternakan ayam di seluruh negara ketika ini berupaya dalam memenuhi keperluan permintaan 30 juta biji telur sehari sehingga ada lebihan boleh dieksport.
Sehubungan itu, beliau berusaha memastikan isu itu tidak berulang lagi dan akan mengadakan beberapa mesyuarat dengan pasukan kementerian sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri.
Langkah sewajarnya itu tegas Salahuddin amat perlu digerakkan seberapa segera yang boleh kerana kementerian tersebut turut menjadi urus setia bagi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
Bagaimanapun tambah beliau, segala dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan kementerian itu sebelum ini akan diteruskan sekiranya terbukti banyak memberi kesan positif kepada rakyat.
- Jumlah harian penerima dos penggalak kedua semakin meningkat
- A Turning Point In Vietnam’s HealthTech: VinBrain Announces Collaboration with Microsoft To Expand AI-Powered Healthcare to Patients Worldwide
- beIN SPORTS To Exclusively Broadcast Formula One In 10 Territories In Asia
- Amazon Web Services powers Bondee to take the Asia social media scene by storm
- Singapore firms can now tap on Temus-IMDA’s talent conversion programme to fill tech roles
Leave a comment