AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNA

Pemimpin-Pemimpin APEC Menyeru Pertumbuhan Inklusif, Dibina Berdasarkan Agenda Kemampanan Di Rantau Ini

141

Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pasifik (APEC Economic Leaders’ Meeting – AELM) melabuhkan tirainya di Bangkok, Thailand semalam dengan hasil yang memberangsangkan yang menyaksikan para Pemimpin Ekonomi APEC berikrar untuk mempergiatkan lagi usaha ke arah pemulihan ekonomi yang inklusif, pasca pandemik. Kenyataan Pemimpin
Ekonomi tersebut turut menegaskan komitmen APEC untuk terus berusaha secara kolektif ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di rantau Asia Pasifik, di samping meningkatkan taraf hidup mereka.

Berlandaskan Visi Putrajaya 2040 serta Pelan Tindakan Aotearoa, para Pemimpin Ekonomi juga menekankan kepentingan untuk mencapai objektif kemampanan APEC menerusi pendekatan yang tegas, responsif dan komprehensif. Dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand, AELM 2022 dimulakan dengan sesi Pemukiman yang mana Pemimpin-Pemimpin Ekonomi menumpukan perbincangan berhubung usaha-usaha APEC dalam mencapai pembangunan yang seimbang, mampan dan inklusif, dengan berpaksikan kepada konsep Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG).

Delegasi Malaysia telah diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara di mana beliau telah mengulangi komitmen Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim, yang turut merupakan salah satu keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas. Beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa Model Ekonomi BCG akan melengkapi usahausaha untuk menyuntik elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi, seterusnya memupuk amalan perniagaan beretika dan mampu menarik pelaburan mampan ke rantau ini.

Semasa perbincangan para Pemimpin berhubung perdagangan dan pelaburan mampan, Malaysia telah menekankan keperluan untuk mengukuhkan lagi peranan APEC sebagai inkubator idea dan seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi global. Ini adalah penting memandangkan APEC berada pada kedudukan yang strategik bukan sahaja bagi melengkapkan usaha-usaha yang sedang giat dijalankan di Pertubuhan Perdagangan Dunia, malah juga dalam meneroka dan membangunkan inisiatif khusus bagi menyokong pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS), menurut Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara juga turut mengambil bahagian dalam Dialog Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin APEC, yang memberi peluang bagi EkonomiEkonomi APEC untuk bertukar-tukar pandangan mengenai penggalakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, serta usaha-usaha bagi mengatasi cabaran ekonomi semasa. Semasa sesi Dialog Tidak Rasmi tersebut, yang turut menyaksikan penyertaan Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi dan Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron, Presiden Republik Perancis – Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali telah menekankan bahawa pembaharuan struktur dan pendigitalan adalah pemacu utama bagi mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan seterusnya meningkatkan taraf hidup di rantau ini.

Para Pemimpin juga turut menyertai dialog tahunan bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (APEC Business Advisory Council – ABAC) di mana Malaysia mengambil kesempatan untuk mengulangi kepentingan bagi meningkatkan literasi digital dan keupayaan PKS, serta keperluan memupuk kerjasama yang lebih erat di antara sektor awam dan swasta dalam perkara ini.

Amerika Syarikat akan menjadi pengerusi dan tuan rumah bagi APEC 2023, mengambil alih dari Thailand.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...