Home AM UNIKL kekal dalam senarai universiti terbaik dunia
AMKHASPendidikan

UNIKL kekal dalam senarai universiti terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 13 Okt. – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kekal dalam senarai universiti terbaik dunia tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pencapaian itu berdasarkan laporan Times Higher Education (THE) World University Ranking 2023 yang diterbitkan pada 12 Oktober 2022.

Laporan itu meletakkan UniKL berada di kedudukan 1201-1500 Dunia dan ke-14 dalam kelompok universiti terbaik Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengurusan tertinggi UniKL dan juga seluruh kakitangan akademik yang telah membuktikan kewibawaan sehingga berjaya meletakkan UniKL dan Pendidikan TVET berada dalam senarai terbaik dunia.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah MARA, saya turut merasa bangga atas pencapaian tersebut dan berharap UniKL terus mencipta gemilang menerusi kecemerlangan dari segi ranking dunia”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, kajian THE World University Ranking 2023 meliputi 1,799 buah universiti di 104 buah negara.

Ia juga merupakan laporan kedudukan universiti yang terbesar dan tertinggi di peringkat global serta diiktiraf semua pihak.

Kesemua universiti termasuk UniKL dinilai berdasarkan 13 penunjuk prestasi yang diukur secara teliti merentasi empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu dan prospek antarabangsa.

Susulan itu, UniKL akan terus mempergiatkan usahanya dalam meningkatkan reputasi di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan universiti dan organisasi ternama dunia dari dalam dan luar negara.

Usaha juga akan ditingkatkan bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di UniKL.

“Saya pasti UniKL akan terus mengambil langkah lebih luas dan jauh untuk meletakkan nama UniKL di persada dunia akademik global khususnya untuk menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa ke UniKL”.

Untuk rekod, UniKL kini mempunyai jumlah enrolmen pelajar seramai 24,711 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 23,802 adalah pelajar tempatan dan 909 orang adalah pelajar antarabangsa.

UniKL yang ditubuhkan pada tahun 2002, kini menawarkan sejumlah 140 jenis kursus.

UniKL mencatat kadar kebolehpasaran graduannya 97.1 peratus pada tahun 2021 dan 96.1 peratus pada 2020.

Sebelum ini, UniKL menerima beberapa pengiktirafan termasuk dinobatkan sebagai Best Universities (Employability Ranking) oleh TalentBank pada tahun 2020.

Juga menerima Putra Brand Award Anugerah Platinum 2021 dan Anugerah Emas 2020 selain Penarafan SETARA 5 (Cemerlang) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2020.

UniKL juga berada di kedudukan 401+ Ranking Asia: THE Asia University Rankings 2022 serta kedudukan 301+ senarai QS Asia University Rankings 2022.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar berkata, UniKL akan terus menggandakan usaha dalam mengimbangi penekanan aspek peningkatan reputasi, kelestarian kewangan dan pembinaan negara bangsa bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, MARA dan MARA Corporation.

UniKL menurut beliau, turut mensasarkan untuk berada di kedudukan 600 teratas dalam senarai universiti terbaik dunia menjelang tahun 2025.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMSains, Teknologi & Komunikasi

Masalah liputan di Padang Serai : MCMC ambil tindakan segera

CYBERJAYA, 1 DISEMBER 2022 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama...

AMCOVID-19

COVID-19 : Kes sembuh meningkat

1 DISEMBER 2022 – Mengikut data yang dipaparkan di halaman web KKM...

AMMY LNA

Hentikan Hasutan Perkauman dan Agama – ABIM

KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2022 – Merujuk kepada titah Duli Yang Maha...

AM

Hujan lebat dijangka bermula di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung

30 November 2022 – Hujan lebat berterusan dijangka akan bermula di timur...